Belum sempat tirai Piala Dunia bermula, peminat bola sepak dunia dikejutkan dengan berita peletakan jawatan ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane yang memilih untuk mengendalikan skuad kebangsaan Qatar sempena penganjuran Piala Dunia 2022.

Apa tidaknya, Zidane baru sahaja mencipta sejarah baharu bersama Real apabila memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut selepas mengecewakan Liverpool 1-0 pada aksi di Kiev, Ukraine lima hari sebelum itu.

Selepas berakhir Liga Juara-Juara, peminat tegar bola sepak akan dihidangkan pula dengan pelbagai drama Piala Dunia yang berbaki lima hari lagi.

Aksi pembuka tirai bakal menyaksikan pasukan tuan rumah, Rusia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki, Moscow pada 14 Jun pukul 11 malam iaitu ketika rakyat Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat depan.

Menerusi teknologi terkini para peminat berpeluang me­nyaksikan temasya terbesar dunia itu hanya di hujung jari melalui telefon pintar selain tontonan di kaca televisyen sama ada secara berbayar atau percuma.

Kerajaan menerusi Radio Televisyen Malaysia turut menghangatkan kejohanan empat tahun sekali tersebut menerusi 27 siaran langsung dan 14 perlawanan tertunda de­ngan kos RM30 juta.

Perbelanjaan besar ini pada mulanya menjadi isu hangat, namun kerajaan menerusi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan bahawa ia dibiayai sepenuhnya melalui tajaan.

Bagi rakyat Malaysia 64 aksi Piala Dunia itu boleh ditonton pada pukul 8, 9 dan 11 malam selain perlu bersengkang mata di hadapan televisyen pada pukul 2 pagi.

Aksi tumpuan sudah pasti pada juara edisi lalu di Brazil, Jerman yang sudah pasti dilihat mampu mempertahankan trofi itu di Rusia kali ini.

Argentina yang tewas 0-1 kepada Jerman enggan menangis lagi apabila tekad mengakhiri kemarau kejuaraan selama 32 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 1986.

Turut menjadi tumpuan ialah Brazil dengan kehadiran semula Neymar yang berehat selama tiga bulan akibat kece­deraan kaki.

Mesir, biarpun bukan pasukan elit, namun nama Mohamed Salah yang menjulang nama bersama Liverpool setelah muncul penjaring terbanyak Liga Perdana England musim ini pasti tidak lepas daripada perhatian peminat.

Pelbagai kejutan bakal terjadi dan drama itu sudah pun berlaku apabila gergasi bola sepak dunia, Itali buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun gagal layak ke Piala Dunia.

Panama pula tanpa disangka-sangka berada di Rusia untuk bersaing dengan 31 pasukan lagi untuk merebut trofi berprestij, Piala Dunia.

Tidak lengkap mencoret cerita bola sepak tanpa diselit mengenai berita sukan itu di peringkat tempatan.

Persatuan Bola Sepak Selangor bakal mempunyai pe­mimpin baharu apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memimpin badan itu selepas Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal sedia berundur.

Di Pantai Timur pula, Fajer Ibrahim yang bagai cacing ke­panasan meninggalkan skuad Kelantan selepas gagal membawa impak positif buat pasukan apabila The Red Warriors terperosok di tangga tercorot Liga Super.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Kelantan boleh menarik nafas lega apabila pengendali sementara, Yusri Che Lah berjaya membimbing TRW untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Alor Setar Rabu lalu.

Buat peminat bola sepak, kalah menang adat pertandi­ngan, jadi terimalah sesuatu keputusan dengan hati terbuka dan selamat berhibur dengan sajian Piala Dunia di Rusia.