Jika kita baca komen-komen netizen di media sosial terutamanya Facebook, Instagram dan Twitter, kita berasa sa­ngat takut. Isu perkauman menjadi topik perbualan. Ada yang menyokong dan sebaliknya.

Sebahagian daripada mereka mendesak orang-orang Melayu supaya bangkit dan bersatu untuk mempertahankan kedudukan serta kedaulatan agama ini.

Bagi menggerakkan ke­sedaran itu, beberapa perhimpunan diadakan yang kononnya untuk menyatukan ummah sekali gus memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin negara.

Sejak akhir-akhir ini, terlalu ramai pemimpin politik yang bercakap tentang agama dan kaum.

Pada tahun ini juga, per­istiwa 13 Mei dibangkitkan semula. Dibahas secara meluas. Motifnya adalah sebagai peringatan kepada orang Melayu dan amaran keras bagi kaum Cina.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak cuba mencetuskan semula isu perkauman dalam media sosial dan portal.

Isu ini mendapat respons yang pelbagai. Ada yang menyokong dan sebaliknya. Namun, pada hakikatnya, mereka cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia untuk merealisasikan agenda-agenda tertentu mereka.

Namun hakikatnya, kita menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara berbilang kaum.

Setiap hari, kita bebas menjalani rutin harian. Kita keluar pagi untuk ke tempat kerja. Dalam perjalanan ke tempat kerja, kita bertemu ramai orang yang berlainan kaum dan agama.

Sebagai contoh, kita singgah di kedai-kedai mamak untuk bersarapan. Dalam kedai itu, terdapat ramai pelanggan.

Begitu juga dengan peniaga-peniaga Melayu yang menjual makanan di tepi-tepi jalan. Pelanggan mereka terdiri daripada pelbagai kaum. Malah, ada yang sudah menjadi pe­langgan tetap sejak beberapa tahun lalu.

Apabila sampai di tempat kerja, kita akan bertemu rakan-rakan sepejabat yang berbeza agama. Mungkin pegawai-pegawai atasan atau bos kita sendiri bukan orang Islam. Namun, kita bekerja seperti biasa. Terima segala arah­an tanpa membantah selagi ia tidak menggoncang akidah dan iman kita.

Apabila pulang ke rumah, kita singgah di kedai-kedai Ah Seng atau Muthu untuk membeli barangan dapur. Kita juga lebih tertarik ke kedai Ah Hong untuk membaiki motosikal atau kereta berbanding ke bengkel Ahmad.

Jika kita pergi ke pasar malam atau pasar raya, kita sering berlaga bahu dengan pengunjung pelbagai kaum dan agama.

Di hospital atau klinik-klinik swasta, kita tidak kisah jika kita, ibu bapa mahupun anak-anak kita dirawat oleh doktor serta pakar perubatan berlainan agama.

Tidak terlintas dalam fikiran kita, mereka akan memberikan ubat yang tidak sesuai supaya kita cepat mati sekali gus menghapuskan etnik di bumi Melayu yang tercinta ini.

Di sekolah, kita tidak pernah mempersoal siapa guru-guru yang mendidik anak-anak bangsa kita. Mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik atau Sains misalnya lebih cen­derung diajar guru-guru berbangsa Cina dan India.

Ada juga sekolah-sekolah kebangsaan, guru besar atau pengetua terdiri daripada bangsa asing.

Begitu juga di kolej atau universiti. Adakah akidah anak-anak bangsa kita terpesong dan dipesongkan oleh golongan pendidik yang bukan beragama Islam ini?

Jadi, siapa yang terancam sebenarnya? Siapa yang kuat bekerja, mereka akan mencapai kejayaan di dunia manakala siapa yang rajin beribadat, mereka akan memperoleh kebahagiaan di akhirat.