Percambahan buah fikiran dan idea itu timbul ekoran kekalahan skuad negara kepada Korea Utara dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.

Skuad bimbingan Nelo Vingada tewas dalam kedua-dua perlawanan menerusi keputusan 1-4.

Kekalahan itu sekali gus memaksa skuad negara me­ngucapkan selamat tinggal Piala Asia apabila sekadar meraih satu mata daripada lima perlawanan.

Berbaki satu perlawanan menentang Lebanon pada Mac tahun depan adalah sekadar pelengkap jadual.

Menang atau kalah tidak membawa sebarang makna, namun tetap menarik perhatian.

Sekiranya tewas, skuad kebangsaan bakal dihujani de­ngan kritikan lagi, andai sebaliknya, mungkin boleh mendiamkan seketika mulut pengkritik, namun tiada jaminan.

Mulut tempayan boleh ditutup, tetapi tidak mulut manusia, lebih-lebih lagi di era teknologi ini segala-galanya di hujung jari menerusi tangan-tangan tersembunyi di sebalik papan kekunci.

Ada pihak gesa Vingada disingkir, malah tidak kurang yang mahu jurulatih berusia 64 tahun dari Portugal itu diberi peluang sehingga tahun depan.

Tidak kurang dengan cadangan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara dinaikkan pangkat bagi menggantikan pa­sukan senior.

Cadangan itu dipatahkan oleh pengendali skuad remaja negara, Bojan Hodak yang menyifatkan ‘budak sekolah rendah mana boleh terus ke universiti’.

Hodak turut mengesahkan sedang merangka persiapan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menghantar skuad B-19 berlatih di Eropah, kemungkinan besar ke Sepanyol.

“Ini kerana tahap cabaran di sana sangat tinggi dan ia bagus untuk skuad muda negara itu,” katanya.

Apa pun nasib Vingada terserah kepada FAM kerana mereka lebih arif.

Bagi penulis kritikan, cemuhan dan kena maki adalah rencam hidup.

Apa sahaja kerjaya dan bidang yang diceburi asam garam seumpama ini perlu dilalui. Usah diharapkan puji-pujian semata-mata. Waima penjual air tebu pun dimarahi pelanggan kerana air yang dijual kononnya mahal dan tidak enak kerana dicampur dengan air.

Apatah lagi pemain bola sepak yang merupakan idola dan personaliti dalam kalangan peminat mereka.

Jadikan kritikan sebagai tonik untuk lebih berjaya dan beraksi dengan cemerlang, manakala pujian pula jangan membuatkan kita bongkak, sebaliknya dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih membara menjulang nama negara.

Mudah bukan, buat apa nak melenting serta melatah dengan kritikan, terima dengan hati terbuka dan senyum sahaja.

Bagi penulis, apa yang penting kita tahu matlamat, misi dan visi. Jadi teruskan bekerja keras bagi merealisasikan apa yang diimpikan.

Ikhlas dan jujur dalam setiap apa yang kita lakukan termasuk pemain bola sepak dan sebarang jenis sukan yang diceburi.

Apabila sifat ini tertanam dalam diri, kita mampu berdepan kritikan dengan tabah, sabar dan tenang.

Orang akan kata, cakap mudah, tetapi cuba terkena batang hidung sendiri.

Ya mungkin kita akan goyah dan cuba untuk membalas cemuhan kerana sebagai manusia kita tidak sempurna.

Anggap ini sebagai ujian, serah kepada-NYA. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Allah tidak akan menguji setara dengan apa yang kita mampu tanggung.

Jadi teruskan hidup seperti biasa dan senyum selalu. Hidup untuk diurus bukan dirunsingkan.