Walaupun lidah bukanlah 100 peratus dapat meramal secara tepat tahap kesihatan seseorang, sekurang-kurangnya ia menjadi indikator mengesan kehadiran penyakit-penyakit yang dapat dirawat secara fizikal.

Sebagai pelengkap kepada kejadian manusia dan makhluk ciptaan yang lain, lidah ternyata salah satu kurniaan­ Allah yang cukup hebat. Melaluinya manusia boleh berbicara dan menikmati makanan yang la­zat-lazat. Dalam sekian banyak anatomi tubuh manusia, lidah seringkali dium­pamakan lebih tajam daripada pedang. Pepatah Melayu ada menyebut, kerana mulut badan binasa. Bahkan kedudukan seseorang di mata masyarakat turut dinilai daripada kata-katanya.

Imam al-Ghazali ada me­nyatakan lidah itu sangat kecil dan ringan, tapi mampu mengangkat seseorang ke darjat paling tinggi dan menjatuhkan seseorang ke darjat paling rendah.

Betapa dahsyatnya bencana yang dikaitkan dengan lidah ini sehingga Rasulullah SAW begitu menitikberatkan peranan lidah dengan berpesan supaya memelihara ta­ngan dan lidah daripada me­nyakiti orang lain.

Bahkan al-Quran turut memberi peringatan kepen­tingan menjaga lisan. Antaranya surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu sebahagian kamu me­ngumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan da­ging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

Sebetulnya, tidak sedikit kes-kes tragis yang diakibatkan organ tanpa tulang ini.

Pada pertengahan November lalu, sebuah keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak kecil yang tinggal di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia dibunuh gara-gara si pelaku tidak tahan dihina.

Suspek yang mempunyai pertalian saudara dengan mangsa mengakui berasa terlalu sakit hati kerana sering dihina dan digelar tidak berguna. Daperum Nainggolan dibunuh dengan kuku kam­bing ketika mangsa sedang tidur sebelum suspek membunuh isterinya, Maya Ambarita dan mencekik kedua-dua anak pasangan tersebut sehingga mati.

Apakah moral yang dapat dikutip daripada kedua-dua kisah benar ini? Betapa ba­nyaknya jiwa yang tidak berdosa menjadi korban hanya kerana lidah. Dahsyatnya bencana lisan ini menyebabkan individu yang dihina tidak dapat menanggung pedihnya kata-kata sehingga melenyapkan kemanusiaannya.

Hari ini, lisan mungkin tidak berkata-kata tetapi itu tidak bermakna mereka tidak berkomunikasi. Lidah mereka diam, tetapi tangan mereka sedang sibuk ‘berkata-kata’. Mereka berbual di media sosial. Mereka berkomunikasi di Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Te­legram.

Mereka yang suka menghina memandang rendah orang lain sebenarnya dipengaruhi oleh sifat angkuh, bongkak, ujub dan tiada sifat merendah diri. Selain menjadi indikasi kepada kesihatan fizikal, lidah juga merupakan penanda aras kepada tahap kesejahte­raan hati seseorang.

Secara analoginya, hati umpama gulai manakala lidah ibarat senduk. Lidah akan menyenduk apa saja yang ada di dalam hati. Dengan erti kata lain, lidah adalah cerminan hati seseorang. Hati yang baik akan mengeluarkan kata-kata yang baik, manakala hati yang ‘sakit’ akan menghamburkan kata-kata yang buruk.

Imam Hasan al-Bashri ada menyatakan, lidah orang yang cerdas berada di belakang hatinya, manakala hati orang yang bodoh berada di belakang lidahnya.

Benarlah kata bijak pandai, sesungguhnya sebahagian perkataan itu ada yang lebih keras daripada batu, lebih pahit daripada jadam, lebih panas daripada bara, dan lebih tajam daripada tusukan.