Golongan perantau yang mendengar lagu raya mula bernostalgia dan merindui ayah, ibu serta rakan-rakan yang berada jauh di kampung halaman. Mereka sudah tentu tidak sabar-sabar lagi ingin pulang bertemu dengan insan-insan tersayang di pagi 1 Syawal.

Malah, kemeriahan sambutan hari lebaran semakin terasa apabila pusat membeli-belah di seluruh negara mengambil kesempatan mengadakan promosi ‘gila-gila’ dengan menawarkan harga murah pada musim perayaan ini.

Ungkapan ‘kita raya hanya setahun sekali, apa salahnya berbelanja lebih’ seolah-olah menjadi kelaziman dalam masyarakat untuk menghalalkan mereka berbelanja habis-habisan untuk bergaya sempena Aidilfitri.

Penulis mendapati setiap kali menjelang musim perayaan itu, masyarakat akan menjadi seperti tidak ketentuan arah dan hilang pertimbangan bagi memenuhi nafsu ketika berbelanja sehingga majoritinya ber­belanja sakan serta boros.

Difahamkan, orang ramai akan berbelanja me­lebihi dua kali ganda untuk menyediakan pelbagai kelengkapan menyambut Aidilfitri seperti pakaian, makanan dan kuih-muih, perabot serta barangan kemas berbanding pada bulan-bulan biasa.

Walaupun sebahagian daripada pengguna dikatakan menyediakan bajet untuk persediaan hari raya mengikut kemam­puan masing-masing, namun kebanyakannya tidak mematuhi bajet ditetapkan itu kerana kegagalan mengurus kewangan ketika masing-masing ghairah berbelanja.

Aidilfitri harus disambut secara sederhana, bukannya berbelanja sampai tidak ingat dunia hingga lupa tujuan dan pengertian sambutan Aidilfitri yang sebenarnya.

Lebih mengejutkan, terdapat dalam kalangan penjawat awam dan swasta yang sanggup membuat pinjaman ah long semata-mata untuk menyambut hari raya dan tindakan itu sangat bahaya kerana ia akan menjerat diri sendiri.

Ini adalah satu masalah psikologi yang sedang di­hadapi masyarakat kita hari ini dan ia perlu dibendung segera daripada terus berleluasa.

Selain itu, perubahan gaya hidup juga satu daripada faktor mendorong kita berbelanja, seperti dengan kewujudan pembelian secara online, ditambah pula harga ditawarkan lebih murah daripada harga pasaran.

Pembelian secara online semakin popular dalam kalangan pengguna kerana dikatakan boleh menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak di pasar raya untuk membeli-belah.

Namun hakikatnya, apabila ia tidak dikawal, ini akan mengakibatkan pembelian di luar kawalan.

Pada pandangan penulis, bukannya tidak boleh berbelanja untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, tetapi jika meraikannya secara berlebihan dan melampau akan memudaratkan diri.

Sepatutnya pada bulan mulia ini, kita perlu berbelanja secara berhemah, berjimat cermat dan merancang perbelanjaan dengan ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Kita perlu ingat bahawa kita juga perlukan wang untuk perbelanjaan ha­rian selepas menyambut hari raya. Maka kita perlu merancang perbelanjaan bukan saja hendak me­nyambut raya, tetapi juga selepas raya.

Sambutan perayaan ini tidaklah terlalu lama dan kita kena teruskan kehidupan selepas berakhir musim perayaan. Janganlah kita terpaksa mengikat perut kerana perlu bayar hutang selepas raya.