Pedas. Itu hemat penulis dan sesiapa sahaja rasai apabila mendengar ungkapan berbisa ini.

Penulis teringat tentang kisah tular yang ‘lucu’ baru-baru ini. Sebenarnya perkara yang ditularkan itu bukan perkara lucu, cuma pe­nerimaan netizen terhadap tindakan penular itu yang menjadikan ia cerita lucu.

Kisahnya, seorang wanita dan ibunya tidak berpuas hati dengan layanan sebuah rangkaian restoran terkenal di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya yang membiarkan mereka menunggu di tempat duduk tanpa mengambil pesanan.

Berang dengan keadaan itu, wanita itu telah ‘menyerang’ seorang pelayan yang mengambil pesanan pelanggan-pelanggan yang sedang beratur di luar restoran tersebut.

Tidak mahu menerima penjelasan pelayan itu yang memberitahu pelanggan-pelanggan yang lain beratur, wanita itu yang menuduh pelayan tersebut tidak ikhlas bekerja merakam insiden tersebut dan mengugut untuk menularkannya.

“Saya akan viralkan. Jangan ada orang pergi sini,” bentak wanita itu.

Sejak dimuat naik 10 Jun lalu dengan status perkhidmatan kedai makan terburuk ialah di restoran tersebut, video tersebut telah ditonton lebih 1.43 juta kali.

Natijahnya?

Penular itu yang dikecam bertubi-tubi hampir keseluruhan netizen di Twitter dan media sosial lain. Hasrat di hati hendak memburukkan restoran itu tetapi nampaknya diri sendiri yang dipandang buruk. Siapa yang malu? Ba­nyak juga portal yang mengulas mengenai insiden wanita itu diaibkan netizen ini.

“Biadap punya customer” dan “Kedai makan terburuk? Saya rasa anda manusia paling buruk tiada sivik” dan “membuat perkara ini tular tidak menunjukkan yang anda baik sebaliknya menunjukkan anda bodoh kerana langsung tidak boleh sabar dan tak boleh tolerate de­ngan keadaan orang ramai. Nak cepat, pergi kedai tepi jalan.” Itu antara kecaman-kecaman yang diterima.

Hendak dijadikan cerita, beberapa hari itu pula, tular Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beratur ketika membeli ayam goreng Kentucky Fried Chicken di Temerloh, Pahang. Maka, terciptalah tajuk berita Agong Pun Beratur Beli KFC.

Penulis berharap apa yang berlaku kepada wanita terbabit turut menjadi pengajaran kepada kita semua. Janganlah begitu mudah dan ghairah untuk mendedahkan keburukan orang lain. Silap-silap tindakan itu memakan diri dan keburukan sendiri yang ditelanjangkan.

Kerana tangan sendiri, tidak semena-mena jutaan orang atau satu dunia tahu sikap kita, Lagipun, belum tentu apa yang kita pandang sama dengan apa yang orang lain fikirkan. Niat kita juga perlulah ikhlas kalau hendak melakukan teguran, bukan untuk mendabik dada atau ingin menjatuhkan.

Nasihat penulis, berhati-hatilah, jangan sampai tuding kain orang terkoyak, kain sendiri yang sudah terlondeh!