Semuanya bergantung kepada persepsi individu yang melihat dan membaca bahan dimuat naik ke laman media sosial tersebut.

Ada dalam kalangan kita sememangnya lebih cen­derung meninggalkan komen bersifat negatif dan ada pula yang suka menenangkan diri dengan bersangka baik ter­hadap sesuatu isu itu sebelum membuat kesimpulan.

Baik buruk sesuatu status terkini dalam media sosial pasti meninggalkan impak berbeza kepada subjek terutama buat mereka yang inginkan promosi tanpa mengambil kisah sama ada ia berbentuk negatif sekalipun.

Buat netizen, setiap apa yang dipersembahkan akan dihadam sebaik-baiknya dan semestinya ada sebilangan akan cepat melatah apabila perkara itu terkena pada batang hidung sendiri atau melibatkan artis kesayangan.

Perihal peminat taksub atau fanatik sememang­nya menjadi lumrah dalam kala­ngan kita apabila ada perkara-perkara yang kita memang suka itu membaya­ngi kehidupan seharian dan membuatkan diri tidak se­nang duduk memikirkan benda sama berulang-ulang kali.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, taksub membawa maksud terlalu kuat pegangannya atau berlebih-lebihan keyakinannya pada se­suatu. 

Fanatik pula diterjemahkan sebagai terlalu berlebihan kepercayaannya atau keyakinannya terhadap se­suatu ajaran (politik dan lain-lain) hingga melampaui batas.

Jika ditenung dalam media sosial, taksub atau fanatik ini jelas boleh dilihat kepada mereka yang meminati seseorang artis terutama yang sedang digilai ramai.

Istilah jangan dijentik atau jolok sarang tebuan sering menjadi tiang kepada netizen yang sangat menggilai artis-artis kesayangan mereka.

Perang komen antara netizen acap kali boleh dilihat pada wall laman media sosial artis berkenaan apabila sesuatu isu itu meletup dimana masing-masing akan membentuk pakatan pembangkang dan pencadang bagi mempertahan hujah masing-masing.

Mereka yang di atas pagar hanya tersenyum lebar melihat hujah-hujah pematah dari pihak pencadang dan pembangkang.

Logik atau tidak hujah-hujah tersebut ia sebenarnya bersifat subjektif dan bergantung kepada pemahaman masing-masing yang membaca kerana setiap fakta mempunyai kekuatan tersendiri.

Malah ada dalam kala­ngan netizen berani menye­rang tak kira siapa sahaja sama ada melibatkan artis lain yang mengganggu selebriti ke­sayangannya ataupun orang-orang berjawatan profesional walaupun diiktiraf sebagai doktor pakar.

Pada mereka apa yang dilakukan oleh artis kesaya­ngan itu sentiasa betul dan tiada cacat cela biarpun dikecam hebat masyarakat dan tokoh-tokoh berwibawa.

Setiap hujah akan dipu­sing-pusing sehinggalah sampai satu titik neutral biarpun masih tidak boleh menerima teguran yang diutarakan ne­tizen lain.

Klimaks cerita akan sampai pada kemuncak apabila artis berkenaan tampil memohon maaf dan kemudian disulam dengan pe­ngakuan tersilap percaturan sehingga me­nyentuh sensitiviti masyarakat negara ini.

Sebagai penutup bicara pula mereka tabur dengan janji bahawa perkara yang sama tidak akan berulang serta lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Maka muncul peminat taksub atau fanatik memuji tindakan artis tersebut yang dikatakan sudah insaf dengan perbuatan dilakukan.

Ironinya, kenapa artis bila melakukan kesilapan biar­pun berulang-ulang kali masyarakat pasti akan memaafkan mereka.

Harus diingat bukan semua orang akan suka perbuatan kita lakukan dan tidak 100 peratus akan bersetuju de­ngannya.

Sama ada kita terlalu tegar hati atau tidak, adalah lebih baik muhasabah diri banyak-banyak kerana pada penghujung hari, semuanya akan ber­akhir dan keesokannya, kita tetap perlu pergi bekerja mencari rezeki.