Kisah perenang muda Singapura, Joseph Schoo­ling yang berjaya me­numpaskan atlet dari Amerika Syarikat, Michael Phelps dalam acara final 100 meter kuak kupu-kupu pada Sukan Olimpik Rio dua tahun lalu masih diingati ramai. 

Phelps bukan sebara­ngan atlet. Dia legenda di kolam renang bahkan menjadi idola Schoo­ling yang lebih muda 10 tahun daripadanya. Bersaing dalam satu acara dan menumpaskan idola sendiri adalah satu pencapaian yang amat hebat.

Begitu juga kisah pendahulu MotoGP, Marc Marquez. Ketika berusia 10 tahun, pelumba dari Sepanyol itu pernah me­nerima hadiah berikutan kemenangan sebuah perlumbaan motosikal yang disertainya daripada ja­guh dunia Itali, Valentino Rossi. 

Foto mereka berdua ketika itu tular dan dianggap klasik. Sejak beberapa tahun lalu, Marquez sema­kin bertuah dan berjaya menidakkan penguasaan Rossi bahkan dia sentiasa ‘bercakaran’ semasa bersaing dengan legenda ­MotoGP pujaan ramai itu.

Apa yang pasti, kisah mengenai tuah-tuah manusia yang kita kenali semakin menjadi perbualan sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini. 

Salah satu yang pa­ling menarik perhatian adalah komen bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Maszlee Malik dalam laman Facebooknya kira-kira setahun lalu mengenai doa seorang gurunya bahawa beliau akan menjadi Menteri Pendidikan. Komen lama itu viral baru-baru ini.

Siapa sangka? Jika tampuk pemerintahan kekal di tangan Barisan Nasional, doa gurunya itu tidaklah nampak bayang bila masa ia akan termakbul. Ter­nyata, rezeki itu memang benar-benar rahsia Allah.

Begitu juga kisah Pre­siden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu. Dia bersama 105 individu lain telah ditangkap dalam Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987 dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun siapa menduga, bekas Timbalan Presiden Pas yang petah berpidato dengan bahasa bersahaja dan lucu ini diangkat sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dr. Mahathir adalah individu sama yang me­nyumbat Mat Sabu ke dalam Kem Tahanan Kamunting, Taiping selama dua tahun tiga dekad lalu. 

Walaupun ramai kini menganggap politik sebagai seni serba jadi dan sentiasa dinamik, namun saya pasti, Mat Sabu sendiri tidak terfikir untuk menghadiri mesyuarat Kabinet dipengerusikan Dr. Mahathir apatah lagi menerima tabik hormat daripada panglima-panglima tentera sepanjang dia aktif berpolitik!

Selain dua sosok ini, banyak lagi kisah-kisah tuah pemimpin politik yang tersingkap pada pasca PRU-14 ini. Justeru, sebagai manusia, tidak salah untuk kita memasang angan-angan atau bercita-cita dalam hidup ini.

Doa, harapan ataupun sedikit angan-angan tidak salah, selagi mana kita berusaha untuk mereali­sasinya. Tanda doa kita mula diperkenan Allah ialah apabila kita diberi kekuatan untuk berusaha.

Diharapkan Ramadan kali ini dapat mendidik hati kita supaya benar-benar percaya bahawa kita ini adalah hamba-Nya yang mampu merancang namun Allah jua Yang Maha Merancang.

Yakinlah, setiap kali bila berdoa, jangan melihat kepada kecilnya perkara yang kita mohon tetapi besarnya sifat Allah yang ada pada-Nya. Moga tuah menyebelahi kita.