Teheran memberi amaran bahawa pasukan Pengawal Revolusinya tidak akan teragak-agak menembak jatuh lebih banyak dron Washington sekiranya mengancam kedaulatan Iran.

Susulan insiden tersebut, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan supaya serangan peluru berpandu dilancarkan ke atas Iran, namun, mengubah fikiran dengan alasan serangan itu agak ‘keterlaluan’ berbanding apa yang dilakukan oleh Teheran.

Walaupun Trump pernah menyebabkan pemimpin-pemimpin dunia ‘pening kepala’ apabila berurusan de­ngannya lantaran beliau kerap mengubah pendirian sama ada dalam isu domestik mahupun antarabangsa, mereka boleh menarik nafas lega kerana Presiden AS itu masih rasional sekali gus membayangkan Washington tidak mahu berperang dengan Teheran setidak-tidak pun dalam masa terdekat.

Trump dan Presiden sebelum ini diberitahu oleh penasihat-penasihat keselamatan AS bahawa mereka mempu­nyai dua pilihan apabila berurusan dengan Iran, sama ada menerima kenyataan Teheran sebagai kuasa nuklear yang baharu atau menyerang program nuklearnya.

Trump pada hemat penulis, tidak berminat untuk me­nyerang Iran ekoran beliau perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya Presiden AS pada tahun depan. Sebarang tindakan yang boleh ‘menyusahkan’ rakyat negara kuasa besar itu seperti menyerang Teheran bukanlah opsyen, walaupun Israel berulang kali mendesak Pentagon melancarkan perang.

Trump juga dalam proses mengundurkan askar AS dari rantau bergolak seperti Iraq, Syria dan Afghanistan. Langkah tersebut semakin menjadi realiti berikutan kekalahan kumpulan militan Daesh kubu terakhir mereka di Syria.

Perang dengan Iran juga sudah semestinya menelan belanja yang amat besar. Campur tangan AS di Iraq, menurut agensi berita Reuters, menyebabkan Washington terpaksa membelanjakan sebanyak AS$1.7 trilion (RM7 trilion) de­ngan kos tambahan AS$490 bilion (RM2 trilion) perlu dibayar kepada askar-askar yang pernah berkhidmat di zon perang tersebut.

Trump perlu berjimat lantaran impak ekonomi jika perang perdagangan AS dengan China terus berlarutan untuk satu tempoh yang panjang.

Presiden AS itu juga dikatakan akan ‘meributkan’ lagi ekonomi dunia kerana berisiko mencetuskan perang mata wang. Trump serius apabila menyatakan baru-baru ini bahawa beliau tidak akan membiarkan rakan dan seteru Washington mengambil kesempatan dengan memanipulasi kadar pertukaran mata wang untuk menjadikan barangan mereka lebih kompetitif berbanding produk AS.

Selain itu, beliau juga perlu memikirkan tindakan Iran terhadap sekutu kuatnya, Israel jika memilih untuk menyerang Teheran serta tindak balas Rejim Zionis ke atas Teheran.

Israel pernah kecundang dalam perang menentang militia Hizbollah pro-Teheran di Lebanon sebelum ini. Jika Israel memilih untuk menggunakan senjata nuklear, ia adalah opsyen yang kurang baik.

Tambahan pula, Iran adalah berbeza daripada Iraq yang pernah diserang AS sebelum ini. Teheran memiliki pasukan tentera antara yang paling kuat dan moden di Asia Barat. Negara itu memiliki hampir 900,000 askar, lebih 1,600 buah kereta kebal, lebih 600 pesawat dan hampir 2,000 peluru berpandu serta sekutunya, Rusia sebagai sandaran.

Perang dengan Iran akan mencetuskan kemusnahan lebih besar, manakala Washington dan sekutu-sekutunya belum bersedia menghadapi situasi tersebut.