Ini disebabkan, kejayaan tidak datang bergolek atau turun begitu sahaja dari langit,

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian.

Begitulah indah dan seninya orang tua-tua dahulu mengajar generasi muda supaya berusaha bersungguh-sungguh tetapi mestilah berilmu dan berpengetahuan luas andainya mahu berjaya.

Manusia tidak akan dapat mengutip hasil yang lumayan sekiranya hanya berangan-angan seperti Mat Jenin, selain gagal menterjemahkan segala hala tuju dan pelan yang cantik lagi kemas yang dibincang dan dirangka berbulan-bulan itu dalam bentuk tindakan.

Ini terpakai juga untuk sesebuah syarikat dan negara, apatah lagi kalau ia sedang dalam proses, keluar daripada kepompong masalah.

Dunia sekarang bukan macam era datuk nenek moyang kita. Semua zaman pasti ada cabarannya sendiri, bagaimanapun rintangan yang dihadapi dalam dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari begitu menguji kepintaran dan mencabar seseorang pejuang.

Sebelum kejayaan diraih, pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga amat diperlukan apatah lagi andai misi yang hendak dicapai itu amat besar.

Bagaimana boleh berjaya, sekiranya kita kedekut untuk berkorban masa santai kita, masa tidur kita dan masa hujung minggu kita.

Sudah tentulah, dalam mana-mana perjuangan getir, tidak ada seorang pun yang tidak penting fungsinya.

Daripada orang yang paling tinggi kedudukannya sehinggalah pekerja bawahan, semua mempunyai peranan tersendiri dalam menentukan masa depan sesebuah perjuangan.

Justeru, tidak boleh dibiarkan wujud seorang ‘penumpang’ pun dalam perjuangan.

Kalau lambat dikesan bakteria ini, ia boleh merosakkan keseluruhan misi.

Bila dibiarkan lagi tanpa ada tindakan proaktif, sedar-sedar sudah ada lambakan ‘penumpang’, ketika itu mungkin perlu keberanian luar biasa untuk membendung penyakit ini.

Hati-hati juga dengan si talam dua muka. Ia ada di mana-mana, dalam masyarakat, organisasi juga negara.

Mereka ini seperti juga ‘penumpang’ amat bahaya kepada perjuangan. Kawal dan sekat pengaruh negatif dibawa spesies daripada tular sehingga menjadi luar kawalan.

Paling teruk ia boleh menjejaskan harapan serta impian sesebuah perjuangan.

Bila ini berlaku sia-sialah semua pengorbanan yang telah dilakukan.

SAPU BERSIH: Tahun 2019 bakal menjelma. Bedahsiasatlah semua azam 2018. Andai ada kelemahan, mengakulah. Lakukan sesuatu, perkemaskan lagi strategi supaya azam 2019 tidak tinggal azam. Selamat me­nyambut tahun baharu.