Seperti lazimnya, setiap kali tahun baharu, maka sesi persekolahan baharu juga turut bermula. Ibu bapa pastinya orang yang paling sibuk dalam me­nguruskan persiapan persekolahan anak masing-masing bermula daripada penyediaan peralatan meliputi pakaian, buku-buku sehinggalah kepada urusan pendaftaran kemasukan ke sekolah.

Penulis juga tidak terke­cuali kerana turut sibuk menguruskan anak-anak pada sesi persekolahan kali ini meliputi sekolah rendah dan sekolah menengah. Bagaimanapun, dalam kesibukan kita menguruskan sesi persekolahan baharu untuk anak-anak, penulis agak terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa yang memberi maklumat palsu mengenai jumlah sebenar pendapatan mereka kepada pihak sekolah.

Masalah ini sering timbul khususnya dalam kalangan segelintir ibu bapa yang bekerja sendiri dan ia sebenarnya telah berlarutan sejak sekian lama. Golongan ini biasanya akan mengisi ruangan pendapatan antara RM700 hingga RM1,000 sahaja, atau paling banyak pun sehingga RM1,500 sedangkan pendapatan sebenar mereka jauh lebih besar daripada yang mereka isytiharkan.

Jika berdasarkan pendapatan yang dinyatakan itu, apabila diikut dengan perkiraan pihak sekolah, anak-anak mereka ini layak untuk menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk murid-murid sekolah baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

Namun, setelah diselidik, rupa-rupanya sebahagian dari­pada ibu bapa ini mempu­nyai rumah yang besar, kereta mewah selain anak-anak me­reka sebenarnya membawa wang melebihi daripada apa yang sepatutnya sebagai be­kalan setiap kali ke sekolah.

Sebagai contoh, seorang guru di sebuah sekolah pernah memberitahu penulis me­ngenai tindakan seorang bapa yang menyatakan pendapatannya hanya RM500 sebagai pemandu bas sekolah.

Kerana itu, anaknya layak mendapat pinjaman buku teks kerana ketika itu pinjaman berkenaan hanya diberi kepada keluarga berpenda­patan rendah. Bagaimanapun, tem­belang bapa itu akhirnya terbongkar apabila dia didapati menghantar anaknya ke sebuah pusat tuisyen yang kebe­tulannya diajar oleh guru di sekolah terbabit dengan menaiki sebuah kereta Mercedes-Benz yang baharu pada ketika itu.

Apabila diselidik, bapa itu sebenarnya pemilik kepada sebuah syarikat bas sekolah. Syarikat itu pula mempunyai jumlah bas yang banyak kerana turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain seperti bas sewa khas, membawa pelancong dan sebagainya.

Itu kejadian yang lama da­hulu, kini tidak jauh bezanya mengenai sikap segelintir ibu bapa yang sanggup melakukan penipuan yang sama demi mendapat sedikit habuan, lebih-lebih lagi ketika kerajaan ketika ini mengumumkan akan memberi lebih banyak bantuan kepada golongan B40.

Masalah penipuan pendapatan dalam kalangan ibu bapa kaya yang bekerja sendiri ini bukan hanya berlaku di pe­ringkat sekolah rendah dan menengah, malah turut berlaku di peringkat institusi pe­ngajian tinggi. Melalui penipuan itu, pelbagai bentuk bantuan mungkin dapat dite­rima anak-anak mereka seperti­ biasiswa untuk yuran, wang perbelanjaan bulanan dan pelbagai lagi.

Lebih menyedihkan jika terdapat pelajar pintar daripada kalangan anak-anak keluarga miskin tidak dapat meneruskan persekolahan mereka dengan sempurna atau gagal meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi gara-gara tidak mendapat bantuan yang sepatutnya. Semua itu terjadi kerana sifat tamak ‘orang yang kaya menyamar miskin’ ini sehingga sanggup mengambil hak pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Mungkin bilangan yang ibu bapa yang melakukan peni­puan pendapatan ini kecil, namun perbuatan tersebut sebenarnya amat-amatlah tidak bertanggungjawab dan perlu segera dihentikan supaya setiap bantuan yang disedikan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan dan bukannya kepada golongan yang tamak sehingga sanggup menipu demi kepentingan diri sendiri.