Tren itu sepatutnya berlepas pada pukul 9:44:40 pagi Selasa tetapi meninggalkan stesen Minami Nagareyama pada pukul 9:44:20 pagi.

Tsukuba Express berulang-alik membawa 130 juta penumpang setahun di antara Akihabara di Tokyo dan Tsukuba di Ibaraki dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Tiada pengguna yang membuat aduan malah tiada siapa pun perasan insiden tren tercepat 20 saat itu, namun pekerja Tsukuba Express telah diberi amaran supaya kejadian itu tidak berulang.

Perkhidmatan kereta api laju di Jepun sangat terkenal dengan ketepatan masanya. Seorang penulis Jepun, Yuko Mito mengatakan kelewatan dalam perkhidmatan shinkansen atau kereta api laju di Jepun bermaksud lewat 1 minit daripada jadual asal berbanding 5 minit di Jerman, United Kingdom (10 minit) dan Itali (15 minit).

Orang Jepun sentiasa berusaha menepati masa seperti yang dijanjikan. Malah mereka biasanya akan tiba di tempat temu janji lima minit lebih awal. Jika terlewat, mereka akan memaklumkan menerusi pesanan ringkas atau terus menelefon pihak ber­kenaan.

Kita biasa mendengar ungkapan masa itu wang atau masa itu emas tetapi orang Jepun berpegang dengan peribahasa toki wa kane yori, yang bermaksud ‘masa itu lebih berharga daripada emas.’ Masa terlalu bernilai. Wang dan emas yang hilang boleh diganti tetapi masa yang berlalu tidak akan ditemui lagi.

Sebaliknya orang Melayu ramai yang sinonim de­ngan perangai tidak menepati masa. Berjanji hendak datang berjumpa pada pukul 9 pagi, pukul 10 pagi batang hidung belum nampak lagi. Kadang-kadang sampai dua jam lewat. Malah, jika ada mesyuarat penting pun mereka suka berlengah-lengah.

Ini menyebabkan orang yang menunggu berasa marah dan sakit hati sedangkan orang yang tidak menepati waktu tadi tidak berasa apa-apa padahal dia telah menzalimi waktu orang lain. Budaya me­minta maaf seperti yang dilakukan syarikat kereta api Jepun tadi juga bukanlah orang kita.

Perangai ini juga terbawa-bawa dalam urusan kerja dan ibadah. Kerja yang sepatutnya sudah lama selesai tidak siap-siap menjelang waktu ditetapkan. Solat lima waktu juga suka dilengah-lengahkan.

Masa kita lebih banyak dihabiskan untuk perkara-perkara tidak perlu termasuk leka melayari Facebook, YouTube dan Instagram. Kita gelisah walaupun cuma 10 minit telefon tiada di tangan tetapi tidak pernah berasa rugi kehilangan pahala solat berjemaah yang hanya mengambil masa 10 minit.

Mungkin inilah sebabnya kita masih ketinggalan dalam banyak perkara. Kita tidak memiliki budaya masyarakat maju seperti orang Jepun.

Tidak menepati waktu adalah budaya orang gagal. Pengurusan masa merupakan pengurusan kehidupan harian kita. Berjaya menguruskan masa bermakna kita berjaya menguruskan hidup kita.

Orang yang teruk dalam mengurus masa sentiasa mengeluh mereka kesuntukan masa, kata ahli falsafah Perancis abad ke-16, La Bruyere. Orang berjaya dalam hidup sangat menghargai masa. Mereka mahu kaya dan berjaya supaya ada lebih banyak masa dapat diluangkan untuk diri sendiri, keluarga dan pas­tinya Allah SWT.