Malah terdapat sebuah hadis tentang kebaikan daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, berbunyi: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik manakala dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmizi).

Berbuatlah kebaikan tanpa memilih siapa yang bakal diberikan kebaikan. Atau senyumlah kepada sesiapapun kerana ia juga sebuah bentuk kebaikan.

Buatlah kebaikan tanpa memilih atau perlu punya asbab. Hal ini kerana tidak ada satu kebaikan pun yang dilakukan di atas muka bumi ini sia-sia.

Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, walaupun berusaha untuk membuat kebaikan, pasti terlepas satu atau dua dalam kehidupan kita melakukan kesilapan.

Kesilapan itu sama ada secara sengaja atau tidak, ia tetap sebuah perbuatan yang barangkali telah menumbuhkan perasaan kurang se­nang kepada orang lain.

Lantas apakah yang mampu membasuh kesilapan? Memohon kemaafan dan kembali menyuburkan kebaikan. Membuat kebaikan juga adalah satu bentuk keuntungan pada masa hadapan.

Sebagai manusia biasa, penulis sama seperti manusia yang lain. Mahu selalu meninggalkan bekas yang baik dalam hati setiap manusia yang pernah berurusan dengan penulis.

Sebab itu, tidak ada sebab penulis tidak mahu menurunkan ego untuk memohon kemaafan kepada warga Utusan Melayu, organisasi yang telah memberi penulis peluang untuk mencari rezeki selama 14 tahun.

Alasan penulis hanya satu. Masuk ke tempat orang cara baik, penulis yang memilih untuk meninggalkan organisasi keramat ini pada 30 November ini juga mahu keluar secara baik.

Penulis juga mahu menggunakan tinta terakhir dalam kolum komentar ini sebagai kesempatan untuk memohon maaf kerana seluruh pihak telah bekerjasama dan memberi sokongan kepada penulis, terutamanya untuk meja hiburan sejak tahun 2004 sehingga kini.

Barangkali ada dalam urusan selama ini yang kurang menyenangkan, jadi penulis memohon maaf.

Penulis juga ingin memaklumkan, ini merupakan komentar terakhir penulis dalam sebuah akhbar yang luar biasa dan telah memberi beragam pengalaman serta keterujaan buat penulis secara peribadi.

Terima kasih Kosmo!. Tanpa Kosmo!, penulis bukan siapa-siapa dan besar harapan penulis bahawa selama ini kami telah menyebarkan banyak manfaat dan kebaikan kepada seluruh pembaca.

Besar harapan penulis, kemaafan yang ditagih, dimaafkan. Assalamualaikum.