Setiap kali berkunjung ke sana khususnya di jeti nelayan, penulis kerap melihat para nelayan menaikkan hasil laut dan berurusan dengan orang ramai khususnya golongan peraih untuk menjual hasil tangkapan mereka.

Terdetik juga di hati penulis, bagaimanakah kehidupan seorang nelayan yang setiap pagi terpaksa meredah laut demi mencari sesuap nasi.

Ketika berkunjung ke rumah salah seorang saudara di Nenasi, Pekan, Pahang baru-baru ini, penulis berpeluang merasai menjadi seorang nelayan selepas dipelawa menaiki bot untuk menangkap hasil laut.

Seawal subuh, kebanyakan nelayan di kawasan itu sudah bersiap sedia untuk memulakan rutin harian mereka.

Menjelang pukul 7 pagi sebaik fajar menyingsing­, satu demi satu bot nelayan yang bersaiz kira-kira 20 meter panjang mula belayar meninggalkan jeti.

Setelah hampir sejam perjalanan, pukat mula dilabuhkan. Penulis turut berpeluang membantu tekong bot yang dikenali sebagai Mohd. Ali, berusia 40-an dan awak-awak yang lebih mesra disapa Awang yang berumur dalam lingkungan 30-an menurunkan pukat.

Menurut Awang, sebaik pukat dilabuhkan, bot akan bergerak secara perlahan menyusuri pesisiran pantai Nenasi selama kira-kira tiga jam untuk memerangkap hasil laut sebelum ia dinaikkan dan pukat dilabuhkan semula untuk kali kedua ketika perjalanan pulang.

Ketika menunggu pukat dinaikkan, penulis mencuri masa berbual dengannya untuk men­getahui mengenai kehidupannya sebagai seorang nelayan.

Menurutnya, dia menjadi nelayan sepenuh masa sejak hampir 10 tahun lalu dengan menjadi awak-awak di bot milik Mohd. Ali.

Kata Awang lagi, sebagai seorang nelayan, dia terpaksa akur dengan pendapatan harian yang kadangkala lumayan, ada masanya pula hanya cukup-cukup untuk membeli keperluan dapur pada hari tersebut jika hasil tangkapan kurang.

Ketika ditanya mengapakah tidak mencari pekerjaan lain yang menjanjikan pendapatan tetap, kata Awang, dia lebih selesa menjadi nelayan memandang ia sudah sebati dengan jiwanya.

Setelah panjang lebar bercerita, akhirnya tiba masa untuk menaikkan pukat dan ketika itu, Awang dan Mohd. Ali begitu tekun melakukan tugas mereka walaupun kulit mereka dibakar panas mentari.

Berdasarkan pengalaman sepanjang hampir 10 jam berada di atas bot, penulis akhirnya mengakui bukan mudah untuk menjadi seorang nelayan.

Hanya jiwa dan semangat yang kental mampu membawa mereka untuk terus belayar meredah lautan mencari rezeki demi menyara keluarga tercinta.

Akhir kata, penulis ingin menzahirkan rasa bangga kepada golongan nelayan kerana mereka telah berkorban menyabung nyawa demi mencari hasil laut untuk dijadikan santapan sebahagian besar rakyat negara ini pada setiap hari.

Tanpa mereka, mungkin kita tidak lagi berpeluang merasai enaknya ikan-ikan segar seperti mana pada hari ini.