Di media-media massa pula misalnya, cerita-cerita tentang kematian merupakan satu elemen penting pemberitaan apatah lagi jika ia membabitkan golongan ternama atau kejadian yang luar biasa.

Jika diperhalusi, ajal datang dalam pelbagai cara. Ada yang meninggal dunia disebabkan penyakit, kemalangan, kes jenayah, dibelit haiwan berbisa dan sebagainya. Pendek kata, tiada satu hari pun dalam hidup kita sunyi daripada cerita kematian.

Imam al-Qurtubi dalam bukunya, Rahsia Kematian, Alam Akhirat dan Kiamat menjelaskan bahawa kematian bukan sekadar lenyapnya seseorang dari muka bumi ini.

Kematian adalah terputusnya hubungan antara roh dan badan, berpindah ke suatu keadaan dan tempat lain. Be­rita kematian sememangnya mengejutkan kerana ia ‘rahsia’ Allah yang terkunci rapat. Hakikatnya, tiada siapapun tahu masa, tempat dan penyebab kepada kematiannya. Dua kisah kematian yang dilaporkan oleh media baru-baru ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita.

Imam Masjid Imam Muslim di Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka, Allahyarham Mohamad Hashim Kechik, 78, tidak sempat menyempurnakan solat Zuhur yang diimamkannya. Arwah berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud dan bersedia untuk bangun bagi meneruskan rakaat keempat hanya sempat beristighfar sebelum menghembuskan nafas ter­akhirnya di atas tikar sejadah.

Begitu juga halnya dengan kematian Pensyarah Kulliyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Allahyarham Prof. Madya Dr. Che Noraini Hashim, 57. Allahyarham yang tidak menghidap sebarang penyakit menghembuskan nafas akhir ketika memperbaharui wuduk untuk menunaikan solat jenazah ibu saudaranya yang meninggal dunia 15 minit sebelum itu.

Bahkan, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi itu dikhabarkan sempat menunaikan solat Zuhur bersama adik-beradiknya dan selesai membaca surah al-Kahfi.

Apakah moral di sebalik kedua-dua kisah kematian ini? Mereka berjaya menutup tirai usia dengan perkara terbaik yang juga disebut sebagai husnul khotimah. Kisah-kisah insan istimewa yang mendapat husnul khotimah seharusnya dicemburui supaya ia menjadi teladan untuk kita mencorakkan kematian seumpamanya.

Sebagai seorang Muslim, husnul khotimah cukup signifikan kerana ia menentukan satu permulaan baharu di alam barzakh. Dalam satu hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim tanda-tanda seseorang memperoleh husnul khotimah adalah jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah memandunya untuk melakukan amal soleh sebelum kematiannya.

Malangnya, kematian orang lain adakalanya ‘gagal’ menjentik keinsafan di hati. Ketika menziarahi jenazah, ada yang tidak segan silu berbual-bual kosong sambil gelak ketawa. Tidak kurang ada yang ‘senang hati’ menghisap rokok seolah-olah dia tidak akan melalui proses yang serupa dengan si mati.

Atas sebab itulah, melazimi mengenang ahli keluarga atau sahabat-sahabat yang telah meninggalkan kita dan memikirkan bagaimanakah keadaan mereka di alam barzakh sebenarnya dapat menyemat kematian di sanubari.

Bahkan, besarnya tuntutan untuk mengingat kepada kematian ini sehinggakan Nabi Muhammad SAW melabelkan kelompok ini sebagai orang yang bijak menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya.

Bijak kerana mereka berusaha menguruskan diri membuat persiapan untuk menghadapi kehidupan di alam baharu dengan amal-amal soleh.

Imam al-Ghazali dalam bukunya, Mau’izatul Mukminin Min Ihya ‘Ulumuddin menggariskan bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kategori. Kategori yang pertama ialah mereka yang tenggelam dalam urusan dunia, kedua mereka yang bertaubat dan mula bertaubat serta ketiga mereka yang mengenal dirinya sendiri dan selalu merasakan hayatnya akan berakhir.

Semoga kita dapat ‘melihat’ di manakah kategori diri kita kerana hakikatnya kita semua menunggu giliran untuk dipanggil pulang bertemu Sang Pencipta.