Media sosial pula dihuraikan sebagai laman web dan aplikasi yang membolehkan pengguna berkongsi kandungan atau turut serta dalam rangkaian itu.

Kedua-dua perkara yang disebut ini saling berkait rapat dalam kehidupan seharian kita terutamanya golongan belia yang sememang lebih cende­rung menggunakan sepenuh­nya kelebihan teknologi dan akses alam maya serta media sosial.

Bagi membolehkan akses ke dunia maya lebih mudah memiliki seunit telefon pintar berkeupayaan tinggi dan berjenama menjadi satu trend dalam kalangan golongan belia dan tidak dikecuali juga yang berkerjaya.

Fungsi dan spesifikasi tertentu dalam telefon pintar itu penting bagi memastikan kelangsungan berada di alam maya atau secara khusus di media sosial.

Keupayaan kamera, kuasa bateri, reka bentuk menarik dan cip pemproses antara perkara utama menentukan kemampuan telefon pintar sebagai daya tarikan pengguna memilikinya.

Disebabkan desakan pengguna yang berubah dari masa ke masa syarikat pengeluar telefon pintar dunia mula berlumba antara satu sama lain dalam menyediakan kualiti terbaik bagi memenuhi permintaan tersebut.

Tahun demi tahun mereka mencuba pelbagai pembaharuan bagi memastikan tidak ketinggalan dan sentiasa menjadi jenama pilihan apabila tiba masa telefon pintar yang dimiliki pengguna perlu diganti.

Senario semasa dalam industri teknologi ini memperlihatkan saingan semakin sengit terutama buat dua gergasi pengeluar telefon pintar iaitu Samsung Electronics Co. (Samsung) dan Apple Inc. (Apple).

Dalam usaha mereka mengekalkan rentak untuk memujuk pengguna menggunakan teknologi terbaharu keluaran masing-masing, beberapa pengeluar lain kini berjaya menggugat kedudukan tersebut dengan menjadi lebih kreatif dan berfikiran luar kotak.

Berdasarkan laporan Bloomberg kedudukan terkini dalam penghantaran telefon pintar global pada suku kedua tahun ini, Huawei Technologies Co. berjaya merampas kedudukan kedua daripada Apple dan kini berada di belakang Samsung.

Kejayaan gergasi telekomunikasi dari China itu dilakukan tanpa melibatkan langsung pasaran Amerika Syarikat.

Untungnya, pengguna kini memperolehi kepuasan dalam teknologi yang sema­kin berkembang tanpa perlu membayar pada harga tinggi seperti sesetengah jenama premium dan secara tidak langsung membolehkan mereka di media sosial lebih kerap.

Kecanggihan yang dibekalkan oleh telefon pintar serta disokong oleh aplikasi tertentu turut memudahkan setiap urusan.

Hubungan simetri antara telefon pintar dan media sosial kini lebih seiring dimana ke­dua-duanya saling meleng­kapi. Aplikasi seperti Whats­App, Instagram, Facebook dan Twitter dipermudahkan bagi menyokong teknologi yang dibawa telefon pintar dan begitu juga sebaliknya apabila peranti itu membolehkan setiap pengguna akses dengan lebih mudah.

Setiap seorang daripada kita sekarang ini dengan jelas lebih gemar memegang telefon pintar di mana jua kita berada sama ada tengah makan di restoran, sambil berjalan ataupun yang sepatutnya tidak dilakukan ialah ketika memandu kenderaan.

Sedar atau tidak kedua-dua­nya baik telefon pintar dan media sosial menjadikan kita tidak ubah seperti hamba. Skeptikal mengenai perkara itu? Tepuk dada tanya selera masing-masing.

Pendek kata, telefon pintar dan media sosial menjadi peneman setia masyarakat masa kini dan kealpaan tersebut membuatkan kita semakin kurang berinteraksi sesama insan jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulu.

Telefon pintar, media sosial jadikan kita hamba