Masakan tidak apabila kita membaca komen-komen yang di­tinggalkan di laman sosial cukup memedihkan hati malah sa­ngat tidak sihat untuk dibaca kerana penuh dengan maki hamun jika ada netizen yang tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.

Mereka seolah-olah tiada pedoman hidup ketika menaip kata-kata nista terhadap sesuatu portal atau individu yang mencetuskan kontroversi atau isu-isu yang tidak disenangi.

Walhal, pengguna internet yang begitu sinonim dengan panggilan netizen itu tidak pun mengenali individu yang dinista itu namun kebebasan alam siber ini telah menjadi tiket untuk mereka menulis sesuatu yang tidak sedap didengar.

Perkara yang sama berlaku pernah di laman Facebook Kos­mo! Online baru-baru ini iaitu berkaitan perkongsian berita mengenai seorang penunggang motosikal yang cedera akibat terkena tayar simpanan lori yang melayang secara tiba-tiba di lebuh raya.

Disebabkan berita tersebut, Facebook Kosmo! Online teruk dikecam oleh netizen. Mereka tidak berpuas hati apabila be­rita yang dimuat naik itu mengatakan mangsa cedera sedangkan ada sebilangan netizen beriya-iya mendakwa mangsa telah meninggal dunia.

Dalam tempoh kurang 5 minit, pelbagai komen yang memaki hamun ditinggalkan termasuk komen yang mengatakan penulis ‘bodoh’ kerana tidak menyemak fakta kes, berita ketinggalan dan pelbagai ayat lain yang tidak patut dituliskan di sini.

Setelah disemak dengan pihak polis sekali lagi, ternyata berita itu tepat kerana mangsa hanya cedera dan tidak sedarkan diri di hospital dan bukannya telah meninggal dunia se­perti didakwa netizen. Apa yang boleh dikatakan di sini ialah netizen telah mendahului pihak polis dan mempertikai kerja wartawan profesional.

Impaknya, orang lain yang berkecuali akan hanya membaca kata-kata nista yang ditulis dan mungkin terkeliru dengan be­rita yang bersumberkan polis atau netizen yang mendahului segala-galanya.

Satu lagi contoh adalah dalam Instagram Kosmo! Online baru-baru ini ketika muka depan sisipan hiburan Kosmo! versi cetak, HabHib dikongsi di laman sosial tersebut berserta kapsyen yang sememangnya datang daripada mulut artis kontroversi itu sendiri.

Sepantas kilat, pelbagai perkataan hinaan, nista dan makian telah ditinggalkan di ruangan komen dan tidak kurang juga yang mengugut mahu unfollow laman sosial itu kerana memaparkan cover artis berkenaan.

Sampaikan penulis mengambil keputusan untuk tidak membacanya langsung apabila ia telah mencecah 200 komen kerana tidak mahu membuang masa berdebat dengan netizen di ruang­an komen berkenaan.

Komen yang ditinggalkan seolah-olah mereka telah hilang pedoman. Mereka tergamak menaip pelbagai ayat yang tidak sepatutnya ditulis oleh ‘orang Melayu’ yang menggunakan gambar profil dengan imej memakai tudung, gambar bersama anak yang comel atau sedang memakai pakaian sekolah.

Penulis barulah faham mengapa sesetengah artis menutup terus ruangan komen atau tidak membaca langsung komen yang ditulis bagi mengelakkan kehidupan mereka terkena tempias negatif.

Sebenarnya, cerita kontroversi ataupun sensasi itulah ‘makanan netizen’ yang paling suka dibaca mereka apabila tanda suka pada muka depan artis di laman sosial boleh mencecah 4,000 Like sedangkan artis yang tiada kontroversi kebiasaannya yang tanda sukanya dalam lingkungan 500 sahaja.

Tepuk dada tanya selera. Walaupun dunia kita tanpa sempadan, pedoman menaip, menulis atau meninggalkan komen pada sesuatu itu perlu dipelihara kerana ia menggambarkan personaliti kita. Kita kena memikirkan suatu hari nanti mungkin anak-anak kita pula menulis perkataan tidak bermoral itu kerana mereka mengikut personaliti kita sendiri.