Ada yang melihat kamera pengawasan yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai suatu kekejaman kerajaan kepada pengguna-pengguna jalan raya. Tidak kurang juga ada yang mendakwa AES itu sebenarnya satu kaedah kerajaan mengaut wang rakyat untuk mengisi kantung kewangan.

Rungutan demi rungutan mengenai kamera kontroversi itu berterusan sehinggakan AES terpilih sebagai salah satu ‘bahan propaganda’ untuk me­raih sokongan dalam perang politik di Malaysia.

AES diperkenalkan untuk mendidik pengguna jalan raya, memupuk kesedaran dan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Ia bukannya untuk menghukum pengguna jalan raya.

Malah, ada papan tanda peringatan ditempatkan pada jarak 2 kilometer sebelum anda tiba di lokasi kamera AES dipasang. Awal-awal sudah diberi peringatan untuk menjaga had laju peman­duan. Jika masih berdegil, salah siapa andai saman dikeluarkan?

Penulis berasa malu tetapi perlu akur kepada kebenaran bahawa sebilangan pemandu persendirian dan komersial di negara ini masih kurang adab ketika berada di atas jalan raya. Masih ramai yang memandu perlahan di lorong tengah, memotong di lorong kiri, berlumba di lorong kanan dan menyalahgunakan lorong kecemasan.

Kita sedia maklum bahawa banyak kempen keselamatan jalan raya dianjurkan setiap tahun khasnya pada musim-musim perayaan. Bagi penulis, usaha ini ternyata sia-sia kerana ia bukan hanya membazirkan wang tetapi gagal mencapai matlamat asal.

Seorang rakan memberitahu penulis, pemandu-pemandu di negara kita ini tidak boleh dididik dengan cara baik atau menerima nasihat. Mereka cuma akan hormat pada undang-undang jika berasa takut. Benar kata kawan itu.

Sepanjang pengalaman memandu di lebuh raya, penulis dapati rata-rata pemandu akan mengurangkan kelajuan ketika menghampiri kawasan yang dipasang kamera AES. Sebaik sahaja melepasi radar kamera pengawasan itu, mereka kembali memecut dan memandu melebihi had laju ditetapkan.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meminta agar lebih banyak perhatian diberikan di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan seperti Terowong Menora di Perak dan mahu bilangan kamera AES ditambah.

Anthony ini bukannya seorang pemimpin yang banyak sembang tetapi ikhlas dalam membantu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya selain mengurangkan jumlah nahas jalan raya. Cadangan beliau adalah wajar kerana AES adalah satu instrumen setakat ini yang membantu dalam menurunkan kadar kemalangan di satu-satu lokasi dan mengajar pemandu untuk mematuhi had laju.

Penulis merasakan sudah tiba masanya agensi-agensi berkait penguatkuasaan undang-undang perlu menimbang idea untuk menggantung lesen dan menyita kenderaan serta-merta ke atas mana-mana pemandu jika mempunyai rekod berulang memandu melebihi had laju.

Denda sekadar beberapa ratus ringgit tidak membawa apa-apa kesan bagi mereka yang masih berdegil. Jika dua hukuman baharu itu dilaksanakan kelak, ia boleh melindungi dan menyelamatkan nyawa orang lain daripada ‘pembunuh jalanan’.