Syukurlah, tiada ada kejadian tembakan yang didorong pera­saan benci terhadap umat Islam hingga menyebabkan 50 orang terkorban di dua buah masjid di New Zealand baru-baru ini berlaku di negara ini.

Penulis berharap suspek yang melakukan perbuatan itu akan mendapat hukuman yang sewajarnya di mahkamah negara tersebut. Ia sekali gus memberi mesej bahawa perbuatan tidak rasional itu tidak wajar dilakukan dan di­terima oleh masyarakat dunia.

Rakyat Malaysia perlu berusaha mengekalkan keamanan yang dikecapi sehingga kini. Jika tidak, pelbagai masalah yang timbul dalam negara sehingga menjejaskan kemajuan negara. Pemimpin-pemimpin dan rakyat pula perlu menyelesaikan pelbagai isu dengan berhemah dan berusaha menjadikan negara ini sebagai tempat tinggal yang menggembirakan semua lapisan masyarakat.

Berikutan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, tahap kegembiraan dan kebahagiaan sesebuah negara kini boleh diukur oleh para pengkaji. Berdasarkan pengiraan mengikut beberapa aspek kehidupan seperti pendapatan per kapita, Malaysia berada pada tangga ke-80 daripada 156 buah negara pada tahun 2019.

Namun, penulis juga hairan apabila mendapati Israel yang menceroboh Palestin boleh berada di tangga ke-13, lebih tinggi daripada Malaysia yang jauh lebih aman. New Zealand yang mengalami kejadian hitam dalam sejarah negara itu kerana kes tembakan di dua buah masjid pula menduduki tangga kelapan.

Senarai negara yang gembira dan bahagia itu dikeluarkan oleh Sustainable Development Solutions Network untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Mac setiap tahun. Pada pandangan penulis, keamanan perlu diberi markah yang lebih tinggi. Jika tidak, ia menunjukkan penduduk di Israel gembira hidup di dalam negara yang berkonflik dengan Palestin.

Berdasarkan laporan media terbaharu, Israel dan Palestin kini di ambang peperangan apabila 30 buah rumah musnah sepenuhnya dan 500 kediaman di Genting Gaza rosak akibat serangan udara tentera Israel pada Isnin lalu. Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas serangan roket dari Genting Gaza sehingga menyebabkan tujuh warga Israel cedera di utara Tel Aviv.

Justeru, cara pemilihan negara yang gembira dalam senarai itu juga perlu diubah. Namun, ia tidak menjejaskan corak kegembiraan rakyat Malaysia pada musim cuti sekolah. Ramai yang melancong di dalam negara dan luar negara.

Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mac lalu telah merekodkan nilai anggaran jualan sebanyak RM220 juta berbanding hanya RM210 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Peningkatan sebanyak RM10 juta itu menunjukkan semakin ramai rakyat negara ini mampu menyimpan wang untuk melancong. Me­lancong dalam dan luar negara juga boleh membawa kegembiraan ke­rana ia melonjak rasa kepuasan diri bagi menikmati setiap sen wang yang dibelanjakan.

Semalam, seorang sahabat penulis pergi untuk merasai menu sotong buncit di sebuah kedai di tepi sebatang jalan raya di Gurun, Kedah. Namun, ketika tiba pada pukul 10 pagi sahabat itu diberikan nombor 100 bagi mendapatkan hidangan sotong buncit.

Sahabatnya itu kemudian baru mengetahui apabila seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberitahunya terdapat pelanggan sanggup datang ke kedai itu pada pukul 6.30 pagi lagi. Pada akhirnya, sahabat itu tidak dapat menikmati sotong buncit segar yang dijual pada harga berpatutan.

Penulis boleh simpulkan bahawa tahap kegembiraan sahabat penulis itu sedikit menurun kerana tidak merasai hidangan sotong buncit kerana pelanggan kedai tersebut cukup ramai. Kedai itu bukan sahaja menjual sotong buncit tetapi makanan lain seperti kambing salai.

Situasi rakyat Malaysia mencari tempat makan yang berpatutan dan murah itu sudah menjadi trend dalam negara ini. Tahap kepuasan dan kegembiraan akan tergambar jika mereka dapat membelanjakan wang untuk menikmati makanan idaman ketika ekonomi negara dijangkakan pulih dalam tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, kegembiraan rak­yat negara ini ketika musim cuti sekolah dengan menghadiri pelbagai jenis aktiviti termasuk membeli-belah, pertemuan hari keluarga, melancong dalam negara sedikit sebanyak dapat membantu mencergaskan ekonomi ketika harga komoditi seperti kelapa sawit mengalami penurunan berbanding tahun-tahun lalu.