Atlet berusia 18 tahun itu mencatat masa terpantas 10.39 saat (s) mengatasi dua pelari kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi dari Ne­geri Sembilan yang ketinggalan 0.04s di tempat kedua dan Muhammad Zulfiqar Ismail (Terengganu) memenangi gangsa (10.46s).

Pelari pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias pula mencatat momen manis menerusi kejayaan berganda apabila meraih pingat emas selain meleburkan rekod 100m wanita berusia 10 tahun pada temasya edisi ke-19 itu.

Atlet kelahiran Setiu itu melakukan catatan 11.81s sekali gus membaharui rekod yang dipegang atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad dengan catatan 11.82s pada edisi 2008 di Terengganu.

Pingat perak dan gangsa dalam acara riben biru itu diraih atlet Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (12.17s) dan Ikma Syaffiera Duris (12.28s).

Cadangan penganjuran Sukma adalah hasil cetusan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1983 yang ketika itu merupakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Tiga tahun kemudian hasrat itu direalisasikan de­ngan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertama pada temasya yang disertai 17 kontinjen negeri selain Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Temasya yang bermula pada 9 hingga 16 April 1986 itu dijuarai oleh kontinjen Kuala Lumpur yang meraih 36 pingat emas, perak (32) dan gangsa (22).

Rasional penganjuran temasya itu adalah untuk mempertingkat mutu sukan, melahir dan menggalakkan penyertaan atlet di peringkat negeri selain mempertingkat prestasi pegawai sukan.

Ia juga bagi menggalakkan pembinaan kemudahan-­kemudahan sukan yang baharu serta menaik taraf infrastruktur sedia ada di peringkat negeri selain memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sukma juga menjadi pentas bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara atlet yang lahir di pentas Sukma ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mewakili Pulau Pinang, bintang boling, Shalin Zulkifli (Selangor) dan Khairul Hafiz Jantan (Melaka).

Sukma edisi ke-19 ini juga melahirkan ramai bintang yang berpotensi untuk menyinar di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Antara atlet yang berpotensi untuk digilap dan diberi peluang beraksi di peringkat tertinggi termasuk pelumba basikal wanita Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir yang mengungguli acara lepas beramai-ramai wanita, acara ujian masa individu dan kriterium.

“Saya berharap dapat mewakili skuad kebangsaan di pentas Sukan SEA di Filipina tahun depan. Jika boleh saya mahu ber­aksi dalam acara ujian masa individu sekiranya acara tersebut dipertan­dingkan,” ujar pelumba ber­usia 21 tahun itu.

Penembak Pahang, Low Wei Chern juga berpotensi untuk diserap dalam skuad kebangsaan selepas kejayaan memadamkan rekod 12 tahun acara 25 meter rapid fire pistol individu lelaki Ahad lalu.

Pemanah Pahang, Muhammad Fahrur Rosi Choiril ­Anuar juga menyimpan impian sama untuk menggalas nama negara di pentas antara­bangsa.

Penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah berusia 20 tahun itu yang meraih emas dalam acara memanah 90m compound turut berharap kejayaan tersebut mampu membuka mata pihak ter­tentu untuk membawanya ber­aksi pada Sukan Univer­siti ASEAN (AUG) di Myanmar Disember depan.

Kini terserah kepada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan persatuan sukan dengan kerja­sama sektor korporat dan peminat sukan negara mengatur langkah menggilap mereka untuk menjulang nama Malaysia di pentas dunia.