Itu ulasan dan ‘alasan’ Andrej Pejic dalam menyamakan nasib dirinya seumpama figura tersohor, Britney Spears, 37, yang merupakan ‘Ratu Kontroversi’ global suatu ketika dahulu.

Model terkenal Australia kelahiran Bosnia itu meraih kontroversi ekoran dilabelkan sebagai androgini impak kecen­derungan menggayakan pakaian rekaan pereka fesyen tersohor seperti Jean Paul Gaultier dan Marc Jacobs di pentas peragaan untuk kedua-dua jantina lelaki dan perempuan.

Namun, selepas menjalani pembedahan jantina untuk menjadi wanita sepenuhnya pada tahun 2014, Andrej, 27, kini meneruskan karier sebagai model catwalk bagi busana perempuan sahaja.

Sebenarnya apa yang dialami Andrej dan Britney itu ialah kesukaran dan harga yang perlu dibayar tatkala diri ­masing-masing sedang mekar mengharum sebagai insan muda ‘bergetah’, rupawan, glamor, berkarisma dan berada di kemuncak karier masing-masing.

Nasib yang sama kini sedang dialami Ariana Grande dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Kenapa Ariana dan Syed Saddiq?

Kedua-duanya bagi penulis ialah Andrej dan Britney masa kini.

Baru berusia 26 tahun, Syed Saddiq kini bergelar menteri paling muda dalam sejarah Malaysia selepas Ahli Parlimen Muar atas tiket Pakatan Harapan (PH) itu dilantik secara rasmi sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18 pada 2 Julai tahun lepas.

Memiliki seraut wajah tampan dengan keterampilan yang segak, masih solo, pemenang anugerah Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali itu pantas sahaja menarik perhatian khalayak, khususnya golongan wanita.

Sepantas itu juga, dirinya mula dilanda ‘kontroversi bersiri’ termasuk melibatkan hal-hal yang agak peribadi se­pertimana yang pernah dialami Britney khususnya.

Tidak muat untuk disenaraikan kesemuanya di ruangan ini, terbaharu, sudah tentu yang membabitkan dirinya dengan penulis blog, Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Papagomo direman polis selama tiga hari atas dakwaan menyerang Syed Saddiq bersama sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) selepas proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Selangor pada 16 Februari lalu.

Menafikan dakwaan Syed Saddiq, Papagomo dilaporkan akan membalas dengan membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq pula.

Sementara menanti apakah jawapan di sebalik realiti ‘drama’ politik Syed Saddiq-Papagomo, dunia hiburan global pula memfokus terhadap Ariana, 25, yang secara rasmi telah meletakkan dirinya di puncak kegemilangan.

Album terbaharunya, Thank U, Next kini merupakan No. 1 terlaris di dunia yang disahkan menerusi carta Billboard Top 200 Album.

Sebanyak 12 lagu daripada album tersebut pula meng­ungguli kedudukan Top 50 dalam carta Billboard Top 100 Song, yang mana tiga lagu tersenarai dalam kedudukan Top 3 carta tersebut - pencapaian yang hanya pernah dicapai oleh The Beatles pada tahun 1964.

Ariana baru terbabit dengan kontroversi selepas memboikot ­majlis Anugerah Grammy 2019 ekoran tidak dibenarkan membuat persembahan mengikut kemahuannya.

Ariana sebenarnya sebelum ini pernah terbabit de­ngan ‘kontroversi bersiri’ termasuk rakaman video yang tular menyaksikan dirinya membuat kenyataan bencikan Amerika Syarikat tetapi dia kemudian tampil memohon maaf. Apa yang pasti, Syed Saddiq dan Ariana kini merupakan nama besar dalam bidang masing-masing.

Untuk itu, mereka terpaksa menghadapi kesukaran bagi memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam memastikan diri masing-masing tidak hanyut ditelan ombak-­ombak kontroversi yang akan sentiasa melanda mereka.

Sukarnya menjadi Ariana dan Syed Saddiq.