Apa yang pasti, perut yang selama ini kurang bekerja pada sebulan Ramadan beroperasi secara maksimum untuk memproses pelbagai makanan yang enak seperti ketupat, lemang, mi kari, lontong dan laksa.

Justeru, amalan sunat yang menjadi rebutan para solihin dalam Syawal iaitu puasa enam secara tidak langsung boleh menghalang nafsu terhadap makanan itu.

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan seba­nyak enam hari dalam bulan Syawal. Ia lebih afdal di­kerjakan secara berturut-turut bermula awal bulan Syawal ia­itu dari 2 Syawal. Bagaimanapun, ia boleh juga di­kerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) se­perti puasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim).

Bagi mereka yang belum berbuat demikian, rebutlah peluang pada hari-hari terakhir ini.

Dalam pada itu, sepanjang bulan Ramadan lalu, pasti ramai yang gagal menjalani rutin senaman. Saya sendiri turut mengala­minya. Untuk memulakan aktiviti tersebut terasa sangat sukar apabila badan terasa berat. Tambahan pula, memikirkan ‘kesengsaraan’ yang bakal dihadapi pada permulaan aktiviti itu.

Akhirnya, pelawaan seorang rakan sekerja untuk menyertai Buff Trail Run 2018 di Sungai Buloh, Selangor pada 1 Julai lalu menyuntik semangat saya untuk kembali berlatih.

Dalam tempoh seminggu sebelum larian itu, saya mula berlari secara perlahan-lahan dengan hari pertama saya berjalan dan berlari sejauh lima kilometer (km). Ternyata, ia sangat sukar terutamanya pada 1km pertama. Urat-urat kaki terasa perit, malah jantung terasa se­perti mahu meletup, tetapi saya kuatkan semangat dan terus berlari.

Pada hari kedua, atas nasihat kawan saya hanya berlari sejauh 4km. Tambahan pula, lutut kanan saya berasa sakit seperti mencucuk-cucuk. Pada hari berikutnya, saya berehat dan hanya berlari semula pada hari Khamis dengan jarak 5km. Pada latihan ketiga ini, badan saya sudah boleh mene­rima jarak larian tersebut. Ia satu kepuasan apabila dapat mengeluarkan peluh dan badan terasa sihat.

Lebih puas apabila saya dapat menyertai Buff Trail Run dengan berjaya menamatkan larian dengan catatan kurang dua jam. Saya meminati larian denai ini kerana ia menawarkan suasana pinggir hutan yang tenang selain dapat meneroka keistimewaan sesuatu kawasan itu.

Bercerita tentang Buff Trail Run, ia dianjurkan oleh syarikat pengedar peralatan sukan rek­reasi dan lasak, Corezone. Acara­ ini menawarkan dua kategori utama iaitu 10km dan 17km. Ia merangkumi laluan jalan raya, kawasan denai, pinggir hutan dan kawasan berbukit.

Bagi yang masih berkira-kira ingin mengurangkan berat badan atau sekadar mengamalkan gaya hidup sihat, saya anjurkan untuk menyertai acara seum­pama itu atau acara lain se­perti larian dan berbasikal.

Aktiviti secara berkelompok ini lebih menyeronokkan. Carilah beberapa rakan yang mempunyai minat sama kerana kita perlu saling menyokong untuk melakukan sesuatu perkara itu. Bahkan, kita boleh mendapat tip-tip berguna dari­pada rakan-rakan yang lebih berpengalaman.

Aktiviti larian misalnya, memerlukan kita untuk berlatih secara betul sekiranya ingin meningkatkan mutu larian selain mengelakkan kecederaan. Bim­bingan jurulatih juga digalakkan bagi memantau prestasi kita.