Kisah itu tular di Facebook dan beberapa blog memaparkan artikel mendakwa seorang individu prihatin ada menegur kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi berkenaan berhubung perbuatan itu.

Berdasarkan entri, penunggang yang terlibat ‘membalas’ dengan mengatakan bahawa pemberi nasihat itu tidak boleh berbuat apa-apa.

Ramai netizen hilang sabar selepas membaca kisah itu dan meninggalkan berpuluh-puluh komen mengutuk perbuatan berbahaya itu.

Antara komen dilontarkan ialah rakyat negara Singapura biadab, datang tempat orang buat onar, bodoh tak ke mana, tunjuk lagak dan macam beruk keluar hutan.

Kemarahan yang diluahkan rakyat Malaysia sememangnya boleh dijangka kerana tindakan sebegitu boleh menyebabkan satu kebakaran yang tidak diingini dan mengorbankan banyak nyawa.

Mungkin perokok itu tidak sedar, ste­sen mi­nyak bukan sekadar dikunjungi pemandu tetapi mereka biasanya disertai keluarga, bayi kecil, nenek kepada 10 cucu atau suami yang isterinya sarat mengandung.

Melihat pada satu sudut berbeza, pahit untuk saya akui bahawa apa yang diutarakan oleh penunggang motosikal itu ada asasnya.

Apa yang boleh dilakukan jika sebilangan petugas di stesen-stesen minyak ‘tidak berani’ menghalang perbuatan merokok di premis yang menjadi pusat sehenti pengguna jalan raya.

Adakah kita bersedia untuk membuat teguran secara bersemuka di lokasi pada ketika itu atau memilih media sosial untuk memberi nasihat?

Secara realitinya, kita acap kali melihat segelintir perokok menghembuskan asap di stesen-stesen minyak. Fenomena ini banyak berlaku di kawasan lebuh raya. Jika bukan di belakang premis, mereka ada dekat tandas atau di tepi stesen minyak.

Persoalannya, bagaimana kita mahu orang luar patuh kepada undang-undang Malaysia jika masih ada perokok tempatan terus melakukan perbuatan sama?

Saya tidak menafikan ada yang berani menegur seperti kisah saudara dan kumpulan motosikal itu. Tahniah saya ucapkan. Dia mungkin satu dalam 10 atau satu dalam 100,000 orang.

Kita tahu stesen minyak kawasan larangan merokok dan mereka yang melakukan perbuatan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun jika didapati bersalah.

Ramai memilih untuk mendiamkan diri daripada menegur perokok kepala batu sebegini. Mungkin mereka tidak mahu mencari masalah atau lebih buruk, dipukul kerana memberi nasihat.

Saya secara peribadi merasakan amalan menegur seperti ini sukar menjadi budaya dalam masyarakat kita, mungkin bukan dalam masa terdekat. Apatah lagi pada ketika ini dengan kea­daan hubungan antara kaum sudah cukup tegang.

Kaedah yang terbaik masa ini ialah anggota penguat kuasa agensi boleh turun padang. Jemput mereka yang melakukan perkara ini ke muka pengadilan. Denda yang diterima sedikit seba­nyak boleh ringankan hutang negara.