Perbelanjaan itu kebiasaannya hadir pada penghujung tahun iaitu ketika mahu membeli peralatan sekolah anak-anak seperti pakaian, kasut, selain membayar yuran dan buku-buku sebelum mema­suki tahun baharu kalendar persekolahan.

Semua ini boleh memeningkan kepala ibu bapa terutamanya yang berpendapatan rendah, apatah lagi jika bukan seorang tetapi dua atau tiga anak yang perlu diberikan perhatian untuk mendapatkan keperluan sekolah yang boleh dikatakan bukan murah harganya pada masa ini.

Perbelanjaan itu mungkin bertambah jika terdapat anak yang perlu memasuki asrama sekolah menengah yang terletak agak jauh dari rumah.

Mungkin ada antara ibu bapa yang mengharapkan wang gaji semata-mata sebelum membuat sebarang perbelanjaan yang mencecah ratusan ringgit dan ada yang melepasi RM1,000.

Bagaimana jika sesetengah antara kita me­nerima gaji agak lewat disebabkan syarikat tempat kita bergantung harapan selama ini mempunyai masalah tertentu sebelum dapat melunaskan gaji pekerja.

Jika kedua-dua pasangan suami isteri bekerja mungkin salah seorang daripada mereka dapat membantu meringankan bebanan tersebut, tetapi bebanan itu dirasakan amat berat seolah-olah menggalas tembok batu jika hanya suami yang be­kerja.

Dalam hal ini, amat penting setiap pasangan suami isteri mempunyai simpanan dana untuk keperluan pada masa kecemasan kerana kita kena ingat dalam kehidupan di dunia ini, awan mendung akan berarak tatkala langit cerah menerangi bumi.

Boleh dikatakan tidak ramai dalam kalangan kita yang memperuntukkan sedikit amaun daripada gaji ke dalam dana kecemasan ini dan ini perlu diubah bagi membolehkan mereka tidak berasa ke­sempitan apabila memerlukan wang segera.

Dana ini sebenarnya memang banyak membantu kita mengatasi masalah ketika berlaku perkara-perkara tidak terduga dan memerlukan perbelanjaan segera.

Amat penting bagi kita mendisiplinkan diri untuk mengasingkan sedikit wang pada setiap bulan bagi membolehkan ia disimpan dengan selamat dalam dana tersebut.

Mungkin ada yang berkata, amat susah untuk menyimpan wang memandangkan mereka bergaji kecil, tetapi mempunyai tanggungan ramai serta beberapa komitmen lain seperti hutang kenderaan, rumah dan sebagainya.

Apa yang penting bukan berapa jumlah wang yang perlu disimpan, tetapi keinginan diri sendiri untuk berbuat demikian.

Jika tidak dapat menyimpan dalam jumlah ba­nyak, sedikit pun jadi, yang penting ia konsisten setiap bulan.

Seorang rakan penulis merupakan seorang yang amat berdisiplin dalam perkara ini. Setiap bulan, dia tidak lupa untuk menabung walaupun sedikit.

Menurutnya, apa yang penting dia mempunyai dana tersendiri untuk diambil ketika waktu kecemasan tanpa perlu berhutang.

Dalam pada itu, dana kecemasan ini apabila dikumpul dalam jumlah besar bagi mereka yang boleh dan mampu berbuat demikian dapat dijadikan mo­dal untuk memulakan perniagaan tanpa perlu membuat pinjaman.