Baginda secara halus menyentuh ‘mood’ sidang Dewan Rakyat semalam yang baru sahaja hari pertama kelmarin memperlihatkan gelagat Ahli-ahli Parlimen keluar beramai-ramai dewan ekoran isu tidak setuju pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua dewan yang baharu.

Jika demikianlah perangai Ahli-ahli Parlimen pada hari pertama sidang, bagaimanakah gelagat me­reka sepanjang sidang jika tidak bersetuju dengan usul-usul atau perbahasan pelbagai isu nanti. Rakyat apatah lagi masyarakat serantau memang memerhati dan menilai pemimpin-pemimpin Malaysia Baharu ini kelak.

Persidangan bermula kelmarin bakal menarik perhatian rakyat setelah tidak sampai 100 hari pilihan raya umum ke-14 berakhir. Antara lain ia dilihat sebagai pe­ngukur kewibawaan wakil-wakil rakyat sama ada yang baharu atau yang berjaya mengekalkan kedudukan dalam mewakili rakyat yang telah memilih mereka.

Perlu diingat bahawa pada bahu wakil-wakil rakyat ini letaknya amanah berat, bukan sekadar ma­suk ke dalam dewan dan berdiam diri atau bersikap pasif sepanjang tempoh bersidang.

Membawa suara dan permasalahan rakyat adalah peranan dan tujuan utama mereka dipilih pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Jumlah kerusi Dewan Rakyat kali ini sama seperti yang sebelumnya iaitu sebanyak 222 kerusi dengan 124 daripadanya diwakili oleh pihak kerajaan termasuk lapan daripada Parti Warisan yang berpangkalan DI sabah.

Sebanyak 54 kerusi pula diwakili Barisan Nasional, 18 Pas, 13 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, 10 kerusi Star, PRS, SUPP, PBRS, UPKO, PDP dan PBS manakala selebihnya wakil Bebas ysng ke­semuanya sebanyak 98 kerusi.

Agihan kerusi yang sedemikian mencerminkan sokongan rakyat yang condong kepada parti yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimanapun, jumlah majoriti yang sebegitu belum lagi dapat membuktikan kewibawaan parti kerajaan atau kelayuan pembangkang dalam Dewan.

Selain muka-muka baharu, menariknya sidang kali ini ialah penampilan tokoh-tokoh yang sebelum ini di pihak kerajaan telah bertukar sebagai pembangkang pula. Ini termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi. Bagaimanakah bentuk pendekatan mereka sebagai ahli-ahli pembangkang pada sepanjang sidang kelak?

Begitu juga pemimpin-pemimpin kerajaan. Sudah pastilah keadaan telah berubah. Kini mereka telah menjadi kerajaan. Pendekatan yang bagaimanakah yang didapati sesuai dan berkesan dalam menghadapi tekanan pembangkang semuanya bergantung kepada sejauh mana mereka mampu berperanan baik serta berpengetahuan dalam Dewan.

Apa-apapun seperti yang dinyatakan sebelum ini, harapan rakyat yang telah mengundi untuk mereka memang tinggi. Keadaan dan senario negara telah berubah, sudah pasti isu-isu yang timbul kelak turut telah berubah dan kompleks.

Bukan sedikit wakil-wakil rakyat sebelum ini yang dilihat bertindak seperti penumpang sahaja sepanjang persidangan tetapi tidak kurang pula yang dilihat begitu aktif sehingga ramai yang beranggapan ‘tiada muka lain’ yang mengisi ruang media massa.

Sebenarnya, rakyat sudah muak melihat gelagat sesetengah wakil rakyat atau kerajaan yang gemar bertelagah mencari siapa benar siapa salah yang pada akhirnya tidak menjawab atau menyelesaikan permasalahan rakyat mahupun negara.

Banyak lagi isu di kawasan-kawasan mereka yang belum atau gagal diselesaikan.

Sesama Kita - Agak menarik untuk melihat kalangan pemimpin yang dilihat kerap menampilkan kata-kata retorik sedangkan hakikatnya tidak tinggal atau kerap kelihatan di kawasan yang diwakili. Bilangan yang berkeadaan begitu bukanlah sedikit. Kalangan ini diwakili oleh wakil-wakil yang dilantik dan tinggal di kawasan yang diwakili.

Akhirnya wakil-wakil ini pula dilihat seperti wakil rakyat dan lebih menonjol. Malangnya wakil-wakil ini gagal menafsir permasalahan yang didengar dengan baik menyebabkan isu-isu yang wujud gagal ditangani dengan berkesan.

Ingatlah bahawa penilaian dan pemerhatian terhadap prestasi wakil-wakil rakyat pada zaman ini tidak seperti dahulu. Jika rakyat gagal bertemu dengan mereka secara bersemuka di alam nyata, dunia maya menjadi pilihan. Secara tiba-tiba sahaja pada pilihan raya akan datang wakil rakyat yang sedia ada yang gagal berkhidmat dengan baik telah bertukar selaras dengan kehendak demokrasi.