Menjadi pondan mungkin agak kekok jika berada dalam kelompok bukan mesra alam, apatah lagi jika dikerling dengan panda­ngan sebelah mata kemudian diketawakan beramai-ramai. Itu skeptikal yang wujud sejak entah bila.

Ironi, era pascamilenium mempersembahkan buat jagat raya, bahawa dunia pondan itu sahih. Mereka wujud dan berhak mendapat hak untuk hidup sebagai manusia biasa. Pondan juga manusia ciptaan Tuhan!

Mahukan bukti, pondan sukar dibuktikan secara hitam putih, jarang benar ada pengesahan jantina pondan. Ada yang menyamakan pondan sebagai khunsa iaitu orang yang dilahirkan dengan dua kemaluan. Individu sama ada lelaki atau wanita yang bersikap bertentangan dengan fitrah jantinanya juga disebut pondan.

Isu jantina Nur Sajat atau pemilik nama penuh Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang dikatakan khunsa dan mahu menukar jantina dalam kad pengenalan juga sampai ke hari ini masih sensasi.

Jadi, berbalik terhadap guru yang merotan murid sehingga berbirat baru-baru ini. Penulis menyifatkan kisah guru rotan pelajar bukan hal pelik.

Cuma kisah tersebut menjadi sensasi kerana ada kaitan dengan isu pondan, dihangatkan pula rakaman tular dan sikap-sikap buruk manusia zaman sekarang antaranya amarah, besar kepala, suka menyebarkan keburukan orang dan biadab.

Oleh kerana amarah, seorang guru memukul murid sedangkan seorang pendidik harus ada pendekatan lebih berhemah dalam membentuk disiplin pelajar. Oleh kerana besar kepala dan gemar menyebarkan keburukan orang, seorang ibu merakam wajah dan kemarahannya terhadap guru yang merotan anaknya untuk dikongsikan se-Malaysia bahkan sedunia mungkin.

Oleh kerana biadab dan besar kepala juga, seorang budak perempuan boleh mengejek guru sendiri de­ngan gelaran pondan tanpa hormat.

Apa yang salah tetap salah. Guru yang merotan anak murid sehingga berbirat itu salah, anak murid yang mengejek guru dengan kata-kata kurang ajar juga salah, ibu yang datang memaki guru kerana merotan anaknya pun salah. Tetapi apa yang lebih salah dan biadab adalah perbuatan merakam dan menyebarkan kemarahan dengan niat berkongsi kesalahan seseorang kepada semua orang. Itu yang paling biadab.

Lebih mendamaikan suasana yang hangat terutamanya dalam kalangan netizen, satu pertemuan antara pihak terbabit juga diatur bersama-sama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi mencapai keharmonian kedua-dua pihak. Masing-masing merasakan tidak perlu melibatkan tindakan undang-undang untuk menyelesaikan masalah berkenaan, sebaliknya mencari kata putus secara menang-menang seperti menarik benang dalam tepung, benang tidak putus, tepung pula tidak berserak.

Sebenarnya, sesi perbincangan sebegitu yang seharusnya menjadi langkah awal untuk penyelesaian masalah.

Sayangnya, tidak hanya dalam kes maki guru dan rotan sampai berbirat tersebut, orang zaman sekarang lebih gemar menggunakan media sosial sebagai ‘balai polis segera’ atau ‘mahkamah segera’ untuk melaporkan serta mendapatkan penjurian terhadap sesuatu kesalahan. Padahnya, ihsan yang ditagih cacian pula yang diterima. Tepuk dada, gunakan minda!