Namun apabila figura terkenal Hollywood yang juga bekas bintang Disney, Demi Lovato, 25, dilaporkan berjaya diselamatkan daripada menemui ajal dengan bantuan Narcan, ramai yang membuka mata untuk menge­tahui apakah Narcan itu sebenarnya.

Lovato cukup dikenali sebagai pelakon filem untuk siaran televisyen, Camp Rock selain merupakan bintang pop tersohor menerusi lagu-lagu popularnya seperti Sorry Not Sorry, Cool for the Summer dan Heart Attack.

Namun, umum mengetahui Lovato sudah lama bergelut dengan masalah depresi, bulimia serta ketagihan alkohol dan dadah termasuk kokain sejak usia remaja lagi sehingga pernah dimasukkan ke pusat pemulihan pada 2010 selepas dia menumbuk penari latarnya, Alex Welch.

Sehinggalah menjelang pukul 11.22 pagi, Selasa 24 Julai 2018 waktu Amerika Syarikat (pukul 2.22 pagi, Rabu 25 Julai 2018 waktu Malaysia), maut dikatakan hampir sahaja menjemput nyawa Lovato sejurus Jabatan Bomba Los Angeles menerima panggilan kecemasan dari kediamannya di Hollywood Hills, California.

Menjelang pukul 11.40 pagi, Lovato dikejarkan ke Hospital Cedar Sinai dan setakat artikel ini ditulis, juruca­kapnya menafikan tentang dakwaan dia mengambil heroin tersebut. Harus diingat heroin dan kokain merupakan dua jenis dadah yang berlainan.

Menurut laporan, pada malam sebelum kejadian, Lovato yang datang daripada keluarga yang berantakan ekoran kedua-dua ibu bapanya sudah bercerai dikatakan telah meluangkan masa berparti sakan bersama rakan-rakannya di sebuah kelab malam terkenal di Los Angeles.

Mujur sahaja Lovato tidak sempat maut andainya dia sememangnya tidak sedarkan diri akibat pengambilan heroin yang berlebihan. Terima kasih kepada paramedik yang pantas melakukan rawatan awal dengan bantuan Narcan terhadap Lovato sejurus mereka menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.

Kalau tidak, pasti nama Lovato akan dimasukkan ke dalam senarai selebriti tersohor yang meninggal dunia akibat pengambilan heroin berlebihan yang termasuklah bintang rock legenda Janis Joplin dan Jim Morrison serta pelakon Glee, Cory Monteith dan pemenang Oscar, Philip Seymour Hoffman, selain model terkenal British, Peaches Geldof dan ibunya, hos televisyen, Paula Yates.

Justeru, apakah sebenarnya Narcan? Dalam bahasa mudah, Narcan merupakan ubat untuk menghapuskan gejala akibat pengambilan heroin yang berlebihan.

Kaunselor perubatan dan pakar ketagihan dadah, Doug Caine menurut laporan eksklusif HollywoodLife.com berkata, apabila seseorang mengambil terlalu ba­nyak heroin, dia akan tidak sedarkan diri akibat tindakan reseptor sel-sel penahan individu daripada bernafas sehingga boleh membawa maut.

Ketika itulah, Narcan perlu disuntik atau boleh diberikan untuk dihirup kepada individu berkenaan. Dikatakan Narcan berupaya menyingkirkan reseptor sel-sel penahan tersebut sehingga membolehkan individu tersebut kembali bernafas.

Disebabkan kadar kematian yang semakin tinggi ang­kara pengambilan heroin yang berlebihan di Amerika Syarikat, baru-baru ini 400 polis yang bertugas di Lapangan Terbang Los Angeles telah diberikan latihan khusus untuk menggunakan Narcan.

Kesimpulannya, kisah tragis dialami selebriti Hollywood ini menunjukkan walau berada dalam kemilau glamor dan populariti yang menggunung, itu tidak bermakna mereka akan terselamat daripada mimpi ngeri godaan maut dadah seperti kokain.

Tidak semestinya dengan adanya ubat seperti Narcan akan mampu menyelamatkan nyawa mereka daripada seruan maut kokain. Kali ini mereka mungkin bernasib baik tetapi pada masa hadapan hanya takdir yang akan menentukannya.