Nicky kemudian ‘diselamatkan’ oleh Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia ke Pa­pua New Guinea, Datuk S. Foo selepas beliau mendapat maklumat melalui perbualan rakan-rakannya bahawa haiwan itu telah ditangkap oleh penduduk kampung di Rompin, Pahang sebelum dijual kepada pihak tertentu.

Namun atas rasa tanggungjawab, beliau mengambil keputusan membeli anak harimau tersebut dengan sejumlah bayaran yang tidak didedahkan.

Nicky selepas itu diserahkan kepada Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar (Perhilitan) Me­laka sebelum diserahkan kepada Zoo Melaka.

Lapan tahun setelah di­selamatkan, Nicky yang kini menghuni Taman Safari Bukit Gambang, Kuantan, Pahang bukan saja mencuri perhatian orang ramai untuk melihatnya dari dekat bahkan dia berpeluang menikmati kehidupannya sehingga bergelar ibu kepada lima ekor anak.  

Nicky mungkin antara Harimau Malaya yang bernasib baik jika dibandingkan dengan haiwan liar yang lain.

Dia diselamatkan dan dijaga dengan baik sehingga dapat berkembang biak seterusnya mengekalkan keseimbangan ekosistem habitatnya dan alam sekitar.

Menurut perangkaan Perhi­litan dua tahun lalu, jumlah harimau liar di negara ini cukup membimbangkan iaitu terdapat sekitar antara 240 hingga 350 ekor sahaja.

Negara sebenarnya berdepan dengan masalah kepupusan haiwan liar yang sangat serius. Sekurang kurangnya satu perlima daripada spesies haiwan liar mamalia di negara ini hampir pupus.

Data Bank Dunia empat tahun lalu mendedahkan, 70 daripada 336 spesies mamalia di Malaysia terancam dan menjadi negara ketujuh ter­tinggi bagi kategori itu.

Kepada pencinta haiwan, tahun 2017 mencatatkan episod sedih apabila beberapa spesies haiwan liar negara ini seperti tapir, gajah dan beruang matahari maut dirempuh kende­raan di beberapa lokasi berbeza di
lebuh raya selain ditembak oleh pemburu haram. Lebih malang, mereka yang percaya kononnya haiwan liar seperti tapir mempunyai ‘khasiat perubatan’ tertentu telah me­lapah bangkai haiwan tersebut dengan kejam.

Akta Pemuliharaan Haiwan Liar 2010 yang termaktub dalam undang-undang perlu lebih agresif dilaksanakan supaya mereka yang tidak bertanggungjawab seperti pem­buru dan pedagang haram serta mereka yang melapah bangkai haiwan liar itu tidak terlepas daripada hukuman.

Pembukaan lebuh raya baharu atas dasar pembangunan yang terpaksa ‘mengorbankan’ habitat asal haiwan-haiwan liar itu perlu diperhalusi semula.

Pengguna juga harus dididik supaya memahami sifat kebanyakan haiwan liar yang lazimnya keluar pada waktu malam untuk mencari makanan.

Kepada pengguna, pandulah kenderaan secara berhemah ketika melalui ‘kawasan’ hidupan liar kerana papan-papan tanda sudah diletakkan di situ supaya pemandu lebih berhati-hati.

Pada masa sama, pihak Perhilitan mungkin boleh me­nimbangkan langkah-langkah proaktif penggunaan pelekat reflektif kolar sistem kedudukan global (GPS) pada sesetengah haiwan supaya mereka mudah dilihat pada waktu malam.

Hakikatnya, kemelut kepupusan haiwan liar bukan terletak pada bahu kerajaan, badan bukan kerajaan atau individu tertentu.

Sebagai warganegara, kita mesti bersungguh-sungguh melindungi haiwan liar kerana ia khazanah paling berharga yang mempengaruhi kelangsungan hidup manusia.

Malah, kita tidak perlu menunggu sehingga bergelar pencinta haiwan, aktivitis, sukarelawan atau pejuang alam sekitar untuk melindungi haiwan liar.

Hanya dengan sedikit ke­sedaran, mulakan dengan diri dan ambil peduli.