Bagaimanapun, bagi sekelompok manusia yang mementingkan setiap detik dan peristiwa, tarikh, hari atau bulan juga tahun memainkan pengaruh serta meninggalkan nilai sentimental tersendiri.

Begitu juga penulis. Setiap kali Ogos menjelma, ada sesuatu yang menjentik sanubari. Perasaan tersebut masih merah dan bergulir manis sehingga kini. Ogos merupakan bulan yang menjebakkan penulis sebagai wartawan surat khabar.

Tepatnya esok, usia akhbar kompak Kosmo! mencapai 14 tahun. Walaupun ia hanya mula diperkenalkan kepada pasaran pada 30 Ogos 2004, namun untuk generasi perdana termasuk penulis yang bekerja dengan akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ini, kami telah mula memproses akhbar ini pada tarikh 1 Ogos 2004.

Sewaktu pertama kali diperkenalkan kepada khalayak Malaysia, Kosmo! membawa imej segar dan progresif sekali gus mengangkat berita yang bersifat prihatin terhadap masyarakat.

Moto Kosmo! juga sangat jelas iaitu Suara Kontemporari. Ia hanya berharga 80 sen untuk keluaran harian manakala RM1 bagi edaran hari Ahad. Bagaimanapun selepas beberapa kali harganya dinaikkan demi menyusun rangka saingan, nilai RM1 kekal sehingga hari ini.

Kosmo! telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Ogos 2004. Sudah tiga kali Kosmo! bertukar Pengarang, dengan pengarang pertama kami ialah Haji Hamzah Sidek. Selepas beliau bersara, posisinya digantikan oleh Badrul Azhar Abdul Rahman sebelum diterajui oleh Datuk Baharom Mahusin. Bersama mereka, sudah banyak pekerja yang berhenti kerja dengan pelbagai alasan termasuk bekerja dengan stesen televisyen seperti Astro Awani atau bertukar angin di akhbar lain serta berkahwin sekali gus memberi fokus terhadap keluarga.

Sepanjang 14 tahun penerbitannya yang tidak pernah gagal diterbitkan walau sehari, kecuali pada cuti umum sempena Aidilfitri, Kosmo! bukan sahaja disanjung tetapi kerap dikecam kerana disifatkan telah menerbitkan berita bersifat provokasi, kurang sensitif serta dilabel sebagai akhbar yang tidak boleh dipercayai pengisiannya. Bagaimanapun, daripada menjadi sebuah akhbar yang penuh tanda-tanya terutama buat pembaca di sekitar luar Lembah Klang, Kosmo! kini sudah tiga tahun menjadi akhbar nombor satu dan paling laris jualannya di Malaysia. Ironi, pada saat dunia persuratkhabaran atau pemberitaan secara konvensional merudum, Kosmo! walaupun mengalami sedikit kejatuhan kerana angin globalisasi digital, tetap mampu mempertahankan kedudukannya sebagai akhbar yang cukup diminati pembaca. Esok, pada tarikh 1 Ogos, Kosmo! mengadakan sebuah majlis sederhana yang dipanggil Majlis Kesyukuran & Makan-Makan Menjelang 14 Tahun Kosmo!.

Bagi penulis secara peribadi, ini merupakan sebuah majlis paling sentimental dalam lambakan majlis yang pernah dianjurkan akhbar ini. Jika mengikut perancangan majlis tersebut kelak akan dihadiri oleh bekas-bekas ‘arkitek seni tulis’ yang telah membangunkan Kosmo! termasuk Hamzah dan Badrul serta mantan Ketua Pengarang Utusan seperti Datuk Khalid Mohd. dan Datuk Aziz Ishak. Selain itu majlis tersebut akan dibanjiri oleh mantan pekerja Kosmo! yang telah dijemput sebagai mengenang jasa mereka.