Sungguhpun ia bukan satu dasar khas tetapi ilham yang dicetuskan itu umpama satu pemangkin kepada usaha dan pendekatan yang perlu diambil negara demi mencapai matlamat membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju menjelang tahun 2020.

Sebagai seorang penuntut di sekolah rendah pada ketika itu, saya menggambarkan negara maju dikaitkan dengan penggunaan teknologi.

Ya, seperti sebahagian besar generasi ketika itu, kereta pada masa itu mungkin kereta boleh terbang, sementara bangunan pencakar langit pula akan menghiasi seluruh panorama metropolitan Kuala Lumpur.

Alangkah naif pemikiran ketika itu. Tidak terlintas di fikiran bahawa perjalanan jauh yang harus ditempuhi negara dalam tempoh 29 tahun lagi.

Jauh dari sudut fikiran tentang kemungkinan hala­ngan yang wujud. Namun, dengan peredaran masa, negara mendepani pelbagai cabaran yang memberi impak dan pengajaran, termasuk Krisis Ekonomi Asia 1997/98 dan gerakan reformasi yang mewujudkan ketegangan perpaduan yang berlaku sebelum ini.

Di sebalik kekangan, kitaran ekonomi mahupun cabaran yang dihadapi, Wawasan 2020 tidak pernah padam dalam minda rakyat Malaysia. Ia suatu aspirasi yang terus membakar semangat agar negara terus progresif dengan kesejahteraan hidup segenap lapisan rakyat terus diberi perhatian.

Hakikatnya, kemajuan yang diterapkan dalam Wawasan 2020 bukan terhad kepada bidang ekonomi, malah merangkumi segala aspek kehidupan termasuk politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan.

Pada Khamis lalu, Tun Mahathir telah membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan keutamaan dan penekanan baharu dalam meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh.

RMK-11 2016-2020 merupakan rancangan fasa pembangunan terakhir sebelum mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dengan melibatkan enam tonggak baharu dan mengambil kira persekitaran ekonomi dan keperluan semasa serta bersifat inklusif.

Reformasi fiskal dan tadbir urus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi sosioekonomi negara, selain pelaksanaan program dan projek pembangunan impak tinggi akan dijalankan secara lebih telus dan mampan.

Sebagai rakyat negara ini, saya tentunya berharap agar Malaysia mencapai status negara maju suatu hari nanti, tidak semestinya pada tahun 2020 mahupun 2024, kerana pelbagai cabaran dan kelemahan yang perlu diperbaiki dan usaha dijalankan untuk mencapai tahap itu.

Dalam kita terus mengejar dan mencapai status negara maju, saya berharap agar rakyat Malaysia (termasuk diri saya) memperbaiki diri agar kita benar-benar mencerminkan kepimpinan dan rakyat sebuah negara maju.

Semoga Harimau Malaya terus mengaum di persada dunia.