Dalam kajian sama, 5 peratus atau 1.6 juta pengguna merupakan mereka yang berusia 55 tahun ke atas. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, jumlahnya dipercayai meningkat dari semasa ke semasa malahan mereka turut menyumbang kepada jumlah pemilikan akaun Facebook di negara ini iaitu 23.8 juta orang.

Kelompok ini penuh dengan pengalaman hidup. Walaupun mampu menyesuaikan diri dengan teknologi semasa, budaya golongan muda yang hyperconnected, menjadikan internet sebahagian daripada kehidupan seharian mungkin agak sukar diterima. 

Apa sahaja yang berlaku di dunia realiti, pasti dimuat naik ke alam siber. Jika ada yang tidak kena, habis semua diluahkan tanpa ditapis menyebabkan ramai golongan berusia tepuk dahi bahkan hampir sakit jantung apabila mengikuti media-media sosial. 

Baru-baru ini, seorang rakan memberitahu, dia merasa sedikit runsing dengan perkahwinan anak lelakinya yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Majlis itu bukan yang pertama ke­rana sebelum ini, dia berpengalaman menyelesaikan kenduri dua anak perempuannya. 

Pegawai kanan kerajaan yang beberapa tahun lagi mahu bersara itu mendakwa, dia dihimpit rasa kurang senang terhadap sikap bakal menantunya di laman-laman sosial sebelum ini. Sejarah alam siber wanita yang akan disatukan dengan anak lelakinya sejak tiga, empat tahun lalu menggusarkan hati.

“Saya bukan mahu menyibuk, tetapi selepas diselidik (Facebook dan Instagram) bakal menantu, naik takut saya. Saya tahu anak saya bukan (teman lelaki) yang pertama tetapi saya tidak sangka menantu saya ramai boyfriend (teman lelaki).

“Sudahlah dimuat naik gambar berpasangan seolah-olah sudah bernikah, apabila putus, habis dihamburkan segala sumpah seranah kepada bekas-bekas (teman lelaki). Sampaikan ibu bapa boyfriend dia dimaki hamun melalui status-status di Facebook. Bukan sahaja Facebook, Instagram dia pun lebih kurang sama,” katanya.

Ujarnya, dia menghormati pilihan anak lelakinya namun bimbang dengan sikap bakal menantu menjadikan laman sosial untuk menunjuk-nunjuk perkara tidak perlu dan melepaskan geram secara semberono, memaki hamun dengan alasan mahu meluahkan.

Kenalan itu turut memberitahu, dia bagaikan sudah mengetahui personaliti bakal menantu dengan hanya membaca laras bahasa serta susunan ayat pada status dan posting, liked pages (laman-laman yang disukai) dan komen-komen yang dihantar. 

Dalam hal ini, saya percaya wanita itu tidak menyangka media sosialnya akan diselidiki, disiasat oleh bakal bapa mertuanya. Jika dia tahu, sudah pasti akaun Facebook tersebut telah dinyah aktif, paling tidak pun akaunnya dihadkan akses kepada rakan sahaja atau segala status dan gambar mengarut yang dimuat naik sebelum-sebelum ini segera dipadam. 

Ketika teknologi semakin canggih dan dunia tanpa sempadan, ibu bapa kini tidak lagi perlu bersusah payah merisik hal ehwal bakal menantu melalui orang ketiga, yang berkemungkinan besar tidak tahu pun sikap sebenar. Lebih malang, perbuatan kurang cerdik dilakukan secara sengaja atau tidak yang kekal tular di media sosial akan menyebabkan ‘saham’ seseorang itu terus merudum di mata bakal mertua. 

Secara peribadi, saya turut terkejut dengan perkembangan terbaharu ini walaupun sejak kebelakangan, terdengar banyak syarikat yang melaksanakan cyber screening (tapisan siber) untuk me­ngenal pasti kecenderungan dan personaliti bakal-bakal pekerja.

Mereka akan menolak jauh-jauh calon-calon yang suka mengadu mengenai perkara berkaitan kerja, masalah di pejabat atau konsisten menyalahkan majikan sebelum ini  dalam media sosial.

Dalam Islam, kita dinasihatkan supaya mengamalkan kesederhanaan dalam meluahkan sebarang ketidakpuasan hati termasuk menerusi media sosial. Namun yang berlaku sebaliknya. Sesete­ngah pengguna menjadi shouty society iaitu golongan yang meluahkan sesuatu ketidakpuasan hati dengan cara ‘memekik-mekik’ atau memaki hamun dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Justeru, berhati-hati dan berpada-padalah bersosial di alam siber. Kepada yang masih bujang, fikirkanlah masa depan ketika mahu memuat naik gambar dan perkataan-perkataan anda!