Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan kekurangan fasiliti yang mampu menjalankan program housemanship atau latihan amali untuk doktor-doktor pelatih di hospital-hospital kerajaan.

Kekurangan fasiliti itu pula berlaku di­sebabkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan berikutan suasana ekonomi yang tidak memberangsangkan.

Pendek kata, jika ekonomi pulih masalah pengambilan doktor pelatih itu bolehlah di­selesaikan dengan segera.

Sebenarnya, masalah penempatan doktor pelatih untuk menjalani latihan housemanship di hospital kerajaan telah pun berlaku sejak tahun 2011 lagi.

Cara kerajaan untuk menangani masalah tersebut ketika itu adalah dengan mengawal had pengambilan pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi di dalam negara selama lima tahun sehingga 30 April 2016.

Bagaimanapun, masalah itu masih lagi berlaku tanpa ada kesudahannya.

Justeru, kerajaan melanjutkan lagi had pengambilan pelajar perubatan sehingga 30 April 2021.

Adakah dengan melanjutkan had pengambilan pelajar itu tanpa meningkatkan fasiliti bagi menempatkan graduan perubatan menjalani latihan amali akan menyelesaikan isu tersebut?

Meningkatkan fasiliti untuk menerima pe­nempatan graduan di hospital kerajaan menuntut peruntukan bajet yang memerlukan pertimbangan serius.

Penyelesaian kewangan itu penting kerana pada awal tahun ini terdapat rungutan bahawa ada doktor pelatih terpaksa bekerja selama 80 jam seminggu di hospital kerajaan.

Terdapat juga cadangan supaya kerajaan menggaji lebih ramai doktor berkhidmat di hospital kerajaan.

Cadangan itu dibuat ketika ada graduan perubatan terpaksa menunggu lebih setahun panggilan untuk menjalani latihan housemanship bagi membolehkan mereka diiktiraf menjadi doktor terlatih.

Permintaan bagi mengambil doktor pelatih itu yang dibuat menerusi laman sosial adalah bagi mengelakkan pergantungan kepada doktor sedia ada yang dikatakan bekerja selama enam hari seminggu.

Situasi itu menunjukkan memang berlaku kekurangan doktor di hospital kerajaan yang menyebabkan pesakit terpaksa mengambil masa yang lama untuk berjumpa dengan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan perlu merangka pelbagai cara selain mencari penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kekurangan doktor dan penempatan graduan perubatan di hospital kerajaan untuk menjalani latihan housemanship.