Keputusan menutup bazar tersebut telah disahkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz. Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memutuskan untuk menghentikan bazar perayaan itu atas banyak faktor.

Antaranya adalah masalah tapak bazar yang diuruskan oleh orang tengah, tidak diselenggara dengan baik, kesesakan lalu lintas, kotor serta peniaga samseng yang tidak segan-segan cari gaduh dengan pihak penguat kuasa mahupun pembeli.

Sudah beroperasi sejak tahun 2003, kini ratusan buah gerai bazar Ramadan atau Aidilfitri mahupun perayaan lain termasuk Deepavali penganjuran kali terakhirnya adalah tahun ini.

Maka bermula tahun hadapan, tidak akan ada lagi kemeriahan serta keriuhan bazar seumpama ini di jantung ibu kota, kecuali pasar malam yang dianjurkan setiap hari Sabtu.

Ironinya, ia mungkin telah menyelesaikan banyak isu ‘global’ yang berbangkit. Pihak berkuasa sudah tidak perlu sakit kepala kerana saban tahun berhadapan situasi dan masalah sama yang tiada penghujung. Justeru itu, menutup terus bazar tersebut disifatkan tepat bagi mengekang lebih banyak masalah tidak terkawal pada masa hadapan.

Bagaimanapun, sebagai salah seorang pengunjung bazar tersebut sejak pertama kali bermastautin di Kuala Lumpur sejak 19 tahun yang lalu, penulis berasa penutupan bazar tersebut telah membunuh ke­terujaan membeli-belah dalam sebuah suasana sesak antara pembeli yang berebut-rebut mencari pelanggan serta pengunjung yang datang ke tapak perniagaan hanya sekadar untuk ‘memeriahkan majlis’.

Bazar Jalan TAR juga adalah syurga beli-belah buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Buat golongan keluarga yang mempunyai banyak anak. Buat golongan yang sedar jika mereka membeli sehelai tudung daripada jenama Duck Scarf misalnya yang mampu mencecah sehelai RM1,000, tetapi dengan jumlah sebanyak itu, mereka mampu berbelanja untuk seisi lima sekeluarga untuk baju baharu digayakan pada pagi raya.

Ia juga sekali gus membunuh nostalgia bazar Ramadan di Jalan TAR yang begitu sinonim untuk seluruh penduduk Malaysia. Kalau tidak percaya, tanyalah kepada mak cik-mak cik yang duduk di Terengganu atau Johor Bahru misalnya, menjelang Ramadan, jika ada anak yang tinggal di ibu kota ajak berbelanja di KL, destinasi wajib kunjung adalah bazar di Jalan TAR. Beli atau tidak, itu belakang kira kerana apa yang penting apabila balik ke kampung, boleh sembang dengan jiran atau saudara-mara bahawa mereka telah mengunjungi bazar di Jalan TAR yang membuatkan mereka ‘lupa diri’ dan mabuk melihat bara­ngan yang dijual juga mahu memilih apa yang berkenan di hati.

Penulis juga percaya, penutupan bazar ini akan membuat banyak periuk nasi peniaga yang menjadikan tradisi berniaga di Jalan TAR pada musim perayaan sebagai lubuk rezeki akan sedikit terjejas. Masakan tidak, jika sudah lebih 10 tahun berniaga dan tahu sifirnya bahawa setiap kali musim perayaan akan mendapat habuan sekitar RM50,000 dan ke atas misalnya, bermula tahun hadapan, kiraan itu sudah lari. Selain mungkin tidak lagi memperoleh pendapatan sedemikian, mereka juga barangkali berhadapan kemungkinan sukar untuk mendapatkan tapak berniaga seperti yang sudah tetap sebelum ini.

Penutupan bazar di Jalan TAR juga mungkin mengurangkan tarikan pelancong terhadap lokasi belah-belah bersifat festival yang dianjurkan di jalanan yang begitu digemari oleh kebanyakan warga asing. Malah, mengikut ranking yang dikeluarkan oleh TripAdvisor, Jalan TAR menduduki tangga ke-57 daripada 325 destinasi wajib kunjung sama ada untuk membeli-belah pada musim perayaan di bazarnya, atau kerana tarikan banyak bangunan lama yang masih dikekalkan seni binanya di sebalik puluhan bangunan baharu yang didirikan sejak kebelakangan ini.

Apa pun pandangan penulis atau orang lain, keputusan menutup bazar pada musim perayaan di Jalan TAR telah pun muktamad. Selamat jalan memori berbelanja dengan operasi perniagaan hampir 24 jam di jalanan bagi warga kota. Terima kasih Jalan TAR kerana pernah menjadi lokasi buat penulis memiliki sepasang baju kurung berharga RM45 sebagai baju raya baharu sewaktu zaman kurang pendapatan dahulu.