Lebih istimewa, sambutan ulang tahun ke-93 Dr. Mahathir kali ini diraikan dalam tempoh tidak sampai 100 hari sejak beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lalu.

Cakna atau tidak, sebelum semalam (10 Julai), penulis sendiri tidak pernah ambil peduli, bahkan tidak pernah menulis ucapan selamat hari lahir buat Dr. Mahathir biarpun sudah kenal nama itu sejak hari pertama masuk sekolah lebih 30 tahun lalu dan berbelas tahun jadi orang media.

Dahulu tiada media sosial, bahkan pada tahun terakhir pemerintahan Dr. Mahathir sebagai PM (2003), ucapan hari lahir yang diterima oleh bapa kepada tujuh orang anak itu mungkin tidak semeriah se­perti semalam.

Keghairahan ekspresi sa­yangkan beliau amat ketara, sehinggakan sebuah saluran televisyen swasta menjadikan slot crawler yang selama ini memuatkan ringkasan berita atau perkembangan terkini dalam dan luar negara, khas untuk menyiarkan ucapan khalayak sempena hari lahirnya.

Sebenarnya, setiap tahun semua orang akan menerima ucapan selamat hari lahir. Paling lazimnya daripada senarai kawan di Facebook. Bagusnya dalam Facebook, kita tidak akan berasa sangat kesepian jika tiada sesiapa ingat tarikh lahir kita!

Jadi tak hairanlah untuk sesiapapun menerusi ucapan hari jadi, cuma skala ‘kemeriahan’nya sahaja tergantung terhadap kekuatan pengaruh, nilai kepentingan atau populariti seseorang individu.

Jadi, kenapa rakyat Malaysia tanpa mengira usia, kaum dan agama berlumba-lumba menabur ucapan buat Dr. Mahathir? Jawapannya mudah, sebabnya semua orang dalam mood sayangkannya dan kasihkan beliau. Itu melebihi sanjung hormat terhadap jasa dan perubahan yang beliau lakukan.

Ucapan yang terzahir adalah apresiasi rakyat terhadap pemilik nama timangan Che Det itu. Lagi pun ia bukannya satu tabung dana atau usaha yang memerlukan orang bergolok gadai barang kemas hanya untuk menaip satu ucapan hari lahir buat beliau. Sesuatu ucapan, sama ada ditulis atau diluahkan secara lisan, ia adalah doa.

Alhamdulillah, rakyat Malaysia masih hidup aman tanpa pertumpahan darah walaupun tonggak kerajaan yang terbina sejak 60 tahun lalu digulingkan dengan rakus pada PRU baru-baru ini.

Jika sampai ke hari ini, masih ada yang muat naik ucapan hari lahir yang terlewat kepada Perdana Menteri, esok 12 Julai, masih lagi hari yang istimewa buat negarawan itu kerana barangkali beliau sendiri akan memuat naik ungkapan teristimewa buat belahan jiwa­nya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sempena hari lahir ke-92 wanita itu pula! Begitulah suratan merpati dua sejoli dalam versi manusia sebenar itu!

Untuk Tun M dan Tun S (Siti Hasmah), mereka mungkin tidak pernah lupa membisikkan ucapan hari lahir ke telinga masing-masing mendahului orang lain.

Tetapi, dalam kehidupan warga marhaen, cuba muhasabah diri, seistimewa apakah ungkapan hari jadi atau hari ulang­ tahun perkahwinan yang pernah diterima atau diucapkan buat insan terkasih se­perti ibu bapa. suami, isteri, kekasih atau anak (bukan sahaja anak pertama)?

Bagaimanakah kita mengekspresikan nilai kasih sayang buat mereka agar membuktikan kita juga rak­yat yang tidak mudah lupa, bahawa minggu depan, 23 Julai 2018 merupakan tarikh kelahiran bekas PM, Datuk Seri Najib Tun Razak. Setidak-tidak­nya, ucaplah semoga segala-galanya dipermudahkan untuk beliau.

Dalam kehidupan penuh ketamadunan kini, percaya atau tidak, masih ada anak-anak yang malu untuk me­ngucapkan selamat hari lahir buat ibu bapa atau adik-­be­­­­­­r­adik masing-masing kerana budaya sebegitu tidak wujud dalam hidup mereka sejak kecil. Latar belakang penulis juga begitu. Namun, dari mana pun kita berasal, budaya apa pun yang diserap, jika ia lebih banyak mendatangkan kebaikan, teruskanlah walaupun ia tidak diajar dalam buku teks agama atau sekolah tahfiz.