Pertama, umat Islam berusaha sedaya upaya melipatgandakan ibadat serta amalan pada bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini. Lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir Ramadan.

Sepanjang tempoh 10 hari itu, terkandung satu malam yang cukup istimewa bagi umat Islam iaitu lailatulqadar. Ia adalah malam yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman. Malam penuh berkat dan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Selain berpuasa, umat Islam akan ke masjid untuk mengerjakan solat sunat Tarawih, bertadarus al-Quran, menunaikan zakat fitrah, bersedekah dan menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan. Semuanya berlaku dalam keadaan tenang.

Senario kedua yang muncul pada satu pertiga akhir bulan Ramadan adalah suasana kesibukan umat Islam melakukan persiapan dengan pelbagai aktiviti daripada membanjiri bazar-bazar pakaian hingga ke pusat beli-belah terkenal untuk mencari pakaian raya. Ini bertukar kelam.

Masing-masing mahu tampak cantik, segak dan menarik ketika meraikan ketibaan 1 Syawal.

Pada pagi 1 Syawal, umat Islam akan menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sejurus selesai, salam berbalas salaman sebelum jemaah pulang ke rumah masing-masing.

Kanak-kanak adalah mereka yang paling gembira menyambut hari lebaran. Mereka akan berkumpul dan berjalan beramai-ramai daripada satu rumah ke rumah seterusnya sambil memberi salam: “Assalamualaikum...kami datang nak beraya.”

Ini kisah semasa saya masih kecil. Saya percaya momen sama juga dirasai jutaan kanak-kanak yang lahir sebelum zaman internet dan kemunculan peranti berhantu bernama telefon bimbit.

Pada pengamatan saya, khususnya pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa memegang telefon bimbit daripada berbual dengan tetamu atau tuan rumah.

Anak kecil dan muda juga lebih selesa terperap dalam bilik dan sibuk bermain permainan menggunakan peranti mudah alih daripada bertanya khabar atau mengenali sanak-saudara dengan lebih dekat.

Ini sudah menjadi lumrah apabila teknologi menguasai kehidupan manusia. Masih ingatkah zaman bayar zakat fitrah melalui telefon bimbit?

Saya bukan golongan neo-luddism tetapi bimbang terhadap kesan peranti berteknologi yang semakin hari semakin menghakis interaksi sosial sesama manusia serta kesannya dalam pembentukan generasi pelapis negara akan datang.

Mungkin sambutan hari raya tahun ini, ibu bapa boleh menyimpan semua peranti dan menemani anak-anak mereka untuk kembali berinteraksi dengan tetamu di rumah sendiri mahupun ketika berkunjung ke kediaman sanak-saudara.

Cubalah kita beraya tahun ini tanpa berpaut sepanjang masa pada telefon bimbit. Semoga sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna tanpa gajet.