Musim baharu ini pastinya ditunggu-tunggu oleh para pe­minat yang mahu menyaksikan sama ada pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mampu untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sejak empat musim lalu berturut-turut dalam ­usaha mencari kejuaraan dunia keenam peribadinya.

Biarpun pelumba dari Bri­tain itu enggan meletakkan harapan yang tinggi, namun Hamil­ton sudah pasti cuba untuk mengekalkan gelaran yang dimenanginya itu dalam usaha mengejar rekod legenda F1, ­Michael Schumacher yang me­rangkul tujuh kejuaraan sepanjang kariernya.

Bagaimanapun, laluan Hamil­ton pastinya berliku apabila Mercedes mengesahkan bahawa mereka akan memberi laluan kepada seorang lagi pelumba pasukan itu, Valtteri Bottas untuk memburu kejuaraan dan tidak akan lagi bertindak sebagai ‘penampan’ buatnya.

Selain itu, Hamilton juga perlu­ sedar bahawa musuh utama mereka, Ferrari seakan-akan sudah menemui ramuan terbaik dalam pembinaan enjin berkapasiti 1.6 liter V6 turbocharge yang digunakan ketika ini selepas lima musim bergelut untuk mencari pelarasan terbaik.

Sesi ujian di Litar Catalunya, Barcelona sebelum ini seharus­nya membuatkan Mercedes bimbang apabila prestasi jentera SF90 milik pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali itu menunjukkan peningkatan yang mendadak.

Situasi tersebut jelas berbeza apabila Mercedes pula terus bergelut untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik jentera W09 sambil menangani bebe­rapa isu termasuk aerodinamik selain memantapkan lagi unit kuasa mereka.

Saingan musim ini juga cukup menarik apabila ramai pelumba muda memperoleh tempat dalam pasukan utama dan pa­ling mengejutkan adalah Charles Leclerc yang baru berusia 21 tahun berjaya mendapat kepercayaan mengemudi jentera Ferrari biarpun dia hanya semusim berada di saingan F1 bersama Sauber musim lalu.

Selain itu, beberapa pasukan lain seperti McLaren, Alfa Romeo Sauber, Toro Rosso dan William mempertaruhkan pelumba baharu masing-masing iaitu Lando Norris, Antonio Giovinazzi,­ Ale­xander Albon dan George Russell dan pastinya tidak boleh dipandang mudah oleh pelumba berpengalaman lain.

Perlumbaan F1 yang ditonton oleh 490.2 juta penonton pada musim lalu juga pastinya dihangatkan lagi dengan keputusan beberapa pelumba memilih untuk menyertai pasukan baharu untuk musim 2019.

Bekas pelumba Red Bull Ra­cing (RBR), Daniel Ricciardo memilih menyertai Renault, Pierre Gasly yang mewakili Toro Rosso sebelum ini dinaikkan pangkat ke pasukan RBR sementara Carlos Sainz yang hampir dua musim bersama Renault ber­alih angin menyertai McLaren.

Selain itu, Lance Stroll dari pasukan William pula akan bersama Racing Point yang sebelum ini dikenali sebagai Force India selepas bapanya muncul sebagai pemegang saham terbesar pasukan itu dan akan bergandingan bersama Sergio Perez.

Lebih menarik, pelumba pa­ling berusia, Kimi Raikkonen, 39, masih belum bersedia untuk mengumumkan persaraannya apabila bakal berlumba bersama pasukan Alfa Romeo Sauber selain kemunculan semula Robert Kubica bersama William selepas lapan tahun ‘bersara’ juga pasti­nya menghangatkan lagi suasana perlumbaan kali ini.

Dalam pada itu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang bertanggungjawab mengawal selia perlumbaan F1 turut tampil dengan idea baharu untuk menjadikan saingan musim 2019 terus membahang.

Selepas kali terakhir diaplikasikan pada 1959, FIA mengesahkan bahawa sistem pemberian mata bonus untuk pelumba yang berjaya melakukan catatan masa terpantas sepusingan ketika perlumbaan berlangsung kembali diperkenalkan dan pelumba yang berjaya melakukannya akan diberikan satu mata sekiranya berjaya menamatkan saingan di dalam kelompok 10 terbaik pada GP berkenaan.

Menerusi 21 perlumbaan yang akan mewarnai musim ini, para peminat pastinya akan disajikan dengan pelbagai insiden dan pertarungan sengit sepanjang sai­ngan berlangsung. Adakah juara baharu akan dinobatkan atau Hamilton bakal terus unggul menguasai F1, sama-sama kita saksikannya nanti.