“Saya sudah 10 tahun menunggu. Walau apa jadi sekali pun saya tidak akan lepaskan peluang ini, walaupun terpaksa pergi sendirian,” luah seorang bakal jemaah haji wanita kepada penulis ketika menghadiri kursus haji tidak lama dulu.

Walaupun hakikatnya diri tidak ‘terasa muda’, itulah soalan lazim yang diasak oleh rata-rata jemaah haji wanita berusia 60 tahun ke atas yang selesa membahasakan diri mereka mak cik kepada penulis untuk membuka bicara.

Realitinya, semakin ramai anak-anak muda yang berumur dalam lingkungan umur kurang 30 tahun mendapat jemputan menunaikan haji bersama ahli keluarga mereka.

Tanpa sempat menjawab dan menghadam soalan-soalan tersebut, penulis membiarkan mereka meluahkan rasa, harapan dan syukur setelah impian mereka sejak sekian lama untuk menjadi tetamu Allah akhirnya menjadi kenyataan.

Benar, menerima panggilan menunaikan haji umpama memperoleh rezeki dari langit. Dalam sekalian banyak ibadah, haji adalah puncak ibadah yang sangat dicita-citakan oleh hampir setiap umat Islam di seluruh dunia.

Rukun Islam kelima ini menuntut pengorbanan yang luar biasa. Ia mencakupi seluruh dimensi yang memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi fizikal, harta dan jiwa.

Sebagai kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah SWT, ia memerlukan seseorang untuk berhabis semaksimum mungkin baik dari segi tenaga mahupun wang ringgit yang dikumpulkan bertahun lamanya.

Bahkan, seseorang itu perlu bersedia bersusah-payah berpisah dengan ahli keluarga, sanak saudara dan kampung halaman dalam tempoh waktu tertentu serta mengawal nafsu semasa dalam ihram.

Ibadah haji mengimbas peristiwa hampir 5,000 tahun lalu yang bermula daripada bapa segala nabi, Nabi Ibrahim. Menghabiskan setiap detik nafasnya mengabdikan diri kepada Sang Pencipta, kembara Nabi Ibrahim dari Mesopotamia, Palestin, Mesir dan akhirnya bertumpu di kota tua Mekah, meninggalkan kesan-kesan sejarah sehingga kini.

Musim haji kali ini melibatkan 30,200 jemaah haji Malaysia menerusi 81 penerbangan ke Tanah Suci yang dijangka berakhir pada 14 Ogos ini. Jika dihitung, tempoh berwukuf hanya tinggal sekitar tiga minggu sahaja lagi.

Wukuf di Arafah bak simulasi padang mahsyar di akhirat itu mungkin kurang dirasai oleh jemaah haji Malaysia musim ini kerana mereka bakal menikmati satu lagi kemudahan baharu iaitu khemah berhawa dingin.

Suhu yang mencecah sehingga 50 darjah Celsius ketika wukuf di Arafah tahun lalu seolah-olah matahari berada sejengkal di atas kepala dan jemaah haji ditenggelami peluh merupakan satu pe­ngalaman yang menginsafkan.

Kepada tetamu Allah, kosongkanlah minda daripada menunggu-nunggu keajaiban di Haramain. Haramain itu sendiri satu ke­ajaiban yang tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Antaranya Allah menurunkan sebanyak 120 rahmat setiap hari kepada jemaah haji di Baitullah dengan pembahagian 60 rahmat untuk mereka yang tawaf, 40 rahmat untuk mereka yang solat di Masjidilharam dan 20 rahmat untuk mereka yang memandang Kaabah.

Mereka yang menunaikan solat berjemaah di Masjidilharam pula dijanjikan dengan ganjaran 100,000 pahala. Keajaiban lain pula tentulah telaga zamzam, yang antara mukjizatnya dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga serta penyembuh penyakit, bergantung kepada niat individu yang meminumnya.

Sebetulnya, ujian sebenar kepada seseorang yang menunaikan haji tidak bernoktah ketika wukuf di Arafah dan melontar di Mina, tetapi sejauh manakah kita mampu istiqamah kepada perkara-perkara kebaikan sekembalinya ke negara asal setelah berada hampir dua bulan berada di ‘madrasah’ Mekah dan Madinah.

Justeru, perbetulkanlah niat menunaikan haji ikhlas semata-mata kerana Allah dan bukan kerana mendambakan gelaran haji atau hajah.

Kepada tetamu Allah tahun 1439, mudah-mudahan ibadah haji menjadikan anda semua bak bayi yang baru dilahirkan yang dapat mengubah sempadan iman.