Sudah tentunya kesemua pasukan berusaha sedaya upaya memantapkan skuad masing-masing sepanjang dua bulan lepas untuk mendapatkan pemain-pemain terbaik dalam pasaran sebelum jendela perpindahan ditutup Jumaat depan.

Ketika ini, pasukan-pasukan EPL giat mengadakan aksi pramusim sebagai persiapan mengharungi jadual panjang liga selain memastikan para pemain cukup cergas menjelang aksi pertama nanti.

Menerusi situasi semasa, pembelian pemain dan kehadi­ran pengurus baharu pastinya hangat diperdebatkan oleh para peminat bola sepak seluruh dunia dan tidak ketinggalan penyokong-penyokong EPL di Malaysia.

Masing-masing mempunyai pasukan pilihan hati untuk merangkul kejuaraan EPL dan penulis sendiri turut sama menco­ngak skuad mana bakal menonjol sebagai pencabar takhta liga berdasarkan perkembangan terkini.

Sekali lagi, seperti tahun-tahun kebelakangan ini, Chelsea mempunyai pengurus baharu dan para pemainnya perlu menyesuaikan diri dengan sistem serta falsafah bola sepak berbeza nanti.

Bagi pasukan-pasukan teratas EPL pula, kesemua mereka menyasarkan bagaimana mahu menyingkirkan juara bertahan, Manchester City daripada takhta EPL.

Namun, pada penulis, Manchester City masih sebuah pasukan yang mantap dan stabil se­perti musim lalu, malah skuad The Citizens di bawah kendalian Pep Guardiola itu diramalkan mampu mengekalkan penguasaan pada liga sekali gus mempertahankan kejuaraan.

Walaupun penulis melihat skuad semasa City tidak sebagus musim lalu, namun pasukan tersebut dijangka masih dominan malah kehadiran pemain baharu, Riyad Mahrez akan menjadi nilai tambah hebat buat The Citizens.

Jangkaan penulis seterusnya melihat Liverpool yang dibim-bing Jurgen Klopp akan mengekori rapat City apatah lagi skuad The Reds itu diperkuatkan de­ngan kehadiran penjaga gol termahal dunia dari Brazil, Alisson Becker yang bernilai £66.8 juta (RM355.88 juta).

Selain Alisson, Liverpool turut dimantapkan dengan kehadiran pemain baharu seperti Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri sekali gus menyaksikan The Reds berpeluang mencabar kejuaraan EPL.

Di belakang The Reds, pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri yang akan memperkenalkan falsafah ‘bola sepak romantik’ dijangka memberi kesegaran pada saingan EPL.

Tambahan pula, skuad The Blues itu berjaya menandata­ngani pemain penting, Jorginho untuk melancarkan gaya baharu permainan pasukan.

Mungkin ramai peminat berpendapat Chelsea musim depan akan bergelut atas alasan dalam tempoh peralihan susulan keha­diran pengurus baharu, namun penulis kurang bersetuju memandangkan kelab berpangkalan di Stamford Bridge itu akan mengejutkan ramai pihak.

Menghuni kelompok empat teratas liga seterusnya ialah Manchester United dan musim depan merupakan tahun ketiga buat pengendalinya, Jose Mou­rinho.

Skuad The Red Devils akan diperkuatkan dengan muka baharu iaitu Fred dan Diogo Dalot, namun kedua-dua pemain tersebut dilihat kurang memberi impak kepada kekuatan sedia ada pasukan.

Meskipun United menamatkan saingan EPL sebagai naib juara musim lalu, namun penulis merasakan anak-anak buah Mourinho jauh sekali untuk mencabar kejuaraan liga musim depan.

Dua lagi pasukan hebat, To­ttenham Hotspur dan Arsenal diramalkan berebut untuk tempat kelima dan keenam.

Walaupun Spurs memiliki ramai pemain beraksi pada Piala Dunia 2018, ia akan menjadi kekurangan buat pasukan bim­bingan Mauricio Pochettino itu dari segi tahap kecergasan dan mereka dijangka bergelut de­ngan prestasi pada awal musim.

Buat The Gunners pula, penulis menjangkakan pengurus baharunya, Unai Emery akan berdepan musim pertama EPL yang sukar.

Situasinya mungkin sama seper­ti Alex Ferguson meninggalkan United dan penggantinya, David Moyes tidak mampu meneruskan kehebatan pasukan tersebut.

Meskipun Arsenal telah mendapatkan beberapa pemain bagus, namun penyokong-penyokong The Gunners perlu memberi masa kepada Emery musim ini. Ini kerana, kota Rom bukan dibina dalam masa sehari.