Bagaimanapun, banyak perkara yang boleh kita perhatikan pada bulan Ramadan ini lebih dilazimi dengan perkara-perkara yang tidak menjadi tuntutan ibadah seperti yang digariskan oleh Islam.

Ada sebilangan kita telah sibuk membuat persiapan me­nyambut Hari Raya Aidilfitri dua atau tiga bulan sebelum Ramadan lagi. Begitulah kelaziman bagi mengelak daripada tempahan pakaian raya tidak diterima atau gagal disiapkan oleh tukang-tukang jahit.

Begitu juga dengan persiapan menyediakan kuih-kuih raya. Sesetengah daripada kita sebelum Ramadan lagi telah mencongak berapa jenis kuih untuk dibuat. Tidak ketinggalan, bulan Ramadan seolah-olah menjadi bulan pesta makanan. Baik pesta makanan di bazar-bazar Ramadan, restoran, hotel mahupun pesta makanan di rumah masing-masing.

Malah, bagi membantu golong­an suri rumah yang ‘pe­ning’ untuk menyediakan hi­dang­an berbuka dan sahur, ada yang tampil membantu menyenaraikan menu-menu untuk dimasak dari hari pertama hingga hari akhir menjelang raya.

Namun, dalam keadaan kita melakukan apa sahaja persiap­an, baik dari segi pakaian raya, kemeriahan menikmati juadah berbuka dan keselesaan beribadah jangan dilupa kepada umat Islam yang bernasib malang di pelbagai pelusuk dunia.

Ketika kita berfikir-fikir untuk makan apa juadah hari ini untuk berbuka puasa, jutaan umat Islam yang tinggal di kem-kem pelarian pula berfikir apa yang boleh mereka makan. Bagi mereka berpuasa pada bulan Ramadan tidak ada bezanya dengan bulan-bulan lain.

Perang saudara yang meletus sejak 2012 menyebabkan seba­nyak 5.6 juta penduduk Syria terpaksa melarikan diri dari rumah dan kampung halam­an ke negara-negara jiran seperti Turki, Lebanon, Jordan dan Iraq untuk berlindung di kem-kem pelarian. Sebanyak 6.2 juta lagi berada di kem-kem pelin­dungan di dalam negara.

Sementara di Palestin, penduduknya lebih menderita ekoran penjajahan Israel sejak tahun 1948 menyebabkan lebih 7.2 juta orang kehilangan rumah dan tanah air sehingga terpaksa menghuni pusat-pusat pelarian di serata dunia. Menjelang Ramadan tahun ini pula, Israel terus bertindak tanpa perikemanusiaan dengan me­lancarkan serangan udara ko­nonnya sebagai tindak balas ke atas Bandar Gaza sehingga menyebabkan sejumlah kematian.

Begitu juga dengan nasib lebih 700,000 etnik Rohingya yang dihalau daripada negeri Rakhine oleh tentera Myanmar menyebabkan mereka sehingga kini terpaksa bersesak di khemah-khemah pelarian di Bangladesh.

Tidak kurang nasib sejumlah umat Islam di kawasan bergolak di Afrika, Afghanistan dan Yemen menyebabkan mereka terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan daif, tiada bekalan air bersih dan elektrik serta kekurangan nutrisi.

Kita di Malaysia, jauh sekali untuk dibandingkan dengan nasib mereka itu. Baik dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, kemudahan, malah kita menikmati kehidupan yang penuh dengan aman damai.

Kita di sini bersesak-sesak untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, mereka bersesak-sesak berebut untuk mendapatkan sumbangan makanan. Kita mengeluh kerana berdepan kesesakan jalan raya untuk pulang berbuka, mereka merintih kerana saban waktu diancam tembakan senjata api dan serangan bom yang datang pada bila-bila masa.

Kita pada Ramadan menjadi letih dan lesu kerana terlebih makan ketika berbuka, mereka pula keletihan kerana tidak mempunyai makanan untuk menghilang lapar dan dahaga.

Oleh itu, sewajarnya dalam kesibukan kita menjalani ibadah berpuasa, jangan dilupa nasib saudara-mara kita yang lain. Insafi dan bantulah mereka semampu yang boleh.

Bersyukur dengan nikmat yang ada. Pelihara ukhuwah dan kukuhkan perpaduan antara kita. Jangan sesekali menyebabkan nikmat itu hilang dek perbuatan dan sikap kita sendiri. Selamat menjalani ibadah puasa.