Rukun Negara adalah falsafah dan ideologi negara yang menjadi dasar kesatuan, perpaduan bangsa serta pedoman kepada semua masyarakat di negara ini.

Sehubungan itu, setiap rak­yat Malaysia perlu menghormati dan mempertahankan kedudukan institusi raja berdasarkan kepada prinsip kedua Rukun Negara itu.

Ini kerana institut raja yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi lambang dan payung kedaulatan negara, selain menaungi rakyat dan agama.

Raja dan rakyat sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Raja umpama pohon dan rakyat itu adalah akarnya.

Perlu diingatkan bahawa institusi raja bukan sekadar ‘hiasan’, sebaliknya adalah sebuah institusi utama yang termaktub dalam perundangan negara.

Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong diangkat sebagai Ketua Negara, manakala raja dan sultan pula sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Namun penulis sedih dan terkilan terhadap apa yang berlaku sejak kebelakangan ini apabila perbuatan memperlekeh dan menghina raja menjadi satu gejala baharu di media sosial.

Malah lebih mendukacitakan Yang di-Pertuan Agong turut menjadi mangsa kecaman oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ramai yang marah terhadap pihak tertentu yang secara terbuka menghina dan mencerca institusi raja termasuk menghasut serta mempengaruhi rak­yat membenci raja-raja Melayu.

Tindakan tersebut sekira­nya dibiarkan berlarutan dibimbangi boleh mengakibatkan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu akan terhakis.

Sehubungan itu, penghinaan terhadap institusi raja oleh individu dan pihak tertentu wajar diambil tindakan serta dikenakan hukuman setimpal.

Kebiadaban mereka itu wajar dikategorikan sebagai kesalahan serius kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan imej ins­titusi raja di negara ini.

Penulis bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menggubal satu akta baharu yang berperanan melindungi dan memelihara kemuliaan institusi diraja daripada dihina serta dipersendakan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan sebagai berkata, penggubalan akta baharu itu telah dibincangkan sejak Oktober tahun lalu dan dijangka digubal tahun ini.

Sebelum ini, terdapat saranan dan gesaan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar kerajaan menggubal akta baharu bagi menangani kes penghinaan terhadap raja, sultan dan Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan perkara tersebut dibangkitkan susulan tindakan beberapa individu dan pihak tertentu memuat naik komen dalam media sosial yang berunsur penghinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Penulis mengharapkan akta baharu itu nanti akan dapat mengawal dan membendung perbuatan menghina raja, sultan dan Yang di-Pertuan Agong daripada terus berleluasa dan tidak terkawal selepas ini.

Sekiranya rakyat di negara ini mendalami sistem institut raja, pasti mereka akan teruja dan tidak mahu kedudukan institusi tersebut tergugat dan diancam.

Mungkin ada dalam kala­ngan rakyat negara ini tidak sedar bahawa sistem penggiliran pemerintahan Yang di-Pertuan Agong adalah satu-satunya yang seumpamanya di dunia bagi pemerintahan sesebuah negara.

Penggiliran pemerintahan Yang di-Pertuan Agong itu te­lah diamalkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 61 tahun lalu.

Sementara itu, pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebelum ini akan diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung hari ini.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada mana-mana sultan yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Daulat Tuanku!