Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih,’ sambutan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mencatat sejarah tersendiri. Ia juga mengimbau kembali sejarah laungan merdeka yang bergema pada 20 Februari 1956 di lokasi berkenaan.

Beliau turut melepaskan 62 kenderaan pelbagai jenis dalam siri jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 ke seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan de­ngan jarak perjalanan sejauh 6,200 kilometer selain dimeriahkan dengan konsert, larian kemerdekaan serta pameran.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang turut teruja dengan pemilihan Melaka sebagai negeri pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menunjukkan semangat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan rasa cinta kita terhadap negara.

Bagaimanapun, selepas tiga minggu berlalu, penulis dapati kempen berkenaan seakan-akan suram apabila kurang mendapat sambutan orang ramai.

Sukar untuk melihat pemilik memasang dan mengibarkan bendera di kenderaan masing-ma­sing. Begitu juga di bangunan-bangunan, bilangan bendera tidak semeriah tahun-tahun lalu.

Sebelum ini, selain Jalur Gemilang bersaiz kecil, banyak individu yang sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk menghiasi kenderaan mereka secara kreatif. Selain pemasangan Jalur Gemilang, ada juga yang mengecat kereta dengan wajah-wajah Perdana Menteri terdahulu dan tema berkaitan hari kebangsaan.

Tindakan itu, lantas menjadi tumpuan orang ramai selain segelintir daripadanya mendapat liputan akhbar dan media elektronik. Tidak ketinggalan, ia tular di media sosial.

Persoalannya, mengapakah rakyat Malaysia memandang sepi kempen mengibarkan Jalur Gemilang tahun ini? Adakah disebabkan kos sara hidup yang semakin tinggi membuatkan orang ramai tidak kisah tentang sambutan bulan kemerdekaan?

Apa pun alasannya, generasi hari ini tanpa me­ngira kaum dan latar belakang sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengibarkan sekurang-kurang­nya satu Jalur Gemilang tidak kira pada kenderaan ataupun premis masing-masing.

Kita perlu mengenang kembali generasi terdahulu yang menempuh za­man kepayahan sebelum mer­deka. Pastinya, perasaan cintakan negara dan simbol ke­­daulatan seperti bendera ke­bangsaan tersemat di sa­nubari mereka.

Dalam kalangan veteran tentera, kesukaran melawan komunis dan penjajah serta melihat teman seperjuangan meninggal dunia di depan mata pasti satu nikmat kemerdekaan yang tidak ingin dilepaskan. Justeru, kita perlu menghargai pe­ngorbanan pasukan tentera dan masyarakat zaman sebelum kemerdekaan yang bersusah payah mempertahankan negara ini daripada musuh serta penjajah.

Tinggal lagi 12 hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-62, marilah kita bersama-sama memupuk semangat patriotisme dan cinta kepada negara termasuk mengibarkan Jalur Gemilang.