Masing-masing sibuk bercakap tentang program yang telah menelan belanja puluhan juta ringgit itu. Namun, hakikatnya hasil yang diharapkan menerusi program yang bermula sejak dua tahun lalu itu boleh dianggap ‘separuh gagal’. Ia gara-gara kegagalan Program Podium mencapai salah satu daripada empat objektif utamanya - menduduki 10 tangga teratas senarai pungutan pingat pada Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia April lalu.

Bagaikan panahan halilintar, Program Podium mendapat kritikan dan teguran pelbagai pihak termasuk mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad. Secara terbuka, Mazlan membidas kegagalan program itu sambil mencadangkan ia dihentikan serta-merta. Jika diamati, ke­­­­n­ya­­­taan yang dilontarkan ada benarnya. Mazlan sudah pasti tidak mahu melihat program itu berakhir dengan noktah kegagalan.

Penulis juga bersetuju dengan cadangan Mazlan supaya Program Podium (jika diteruskan sehingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun) diserahkan kepada MSN. MSN dilihat layak me­nguruskan Program Podium kerana memiliki tenaga pakar mengendalikan program besar sebagaimana Jaya ‘98, Gemilang 2001 dan Kita Juara 2017. Sebaliknya, ISN harus kembali kepada tugas hakiki - fokus terhadap tugas sebagai badan sokongan dalam mening­katkan pres­tasi atlet melalui sains sukan.

Program Podium bermula pada tahun 2016 dengan program bersepadu persediaan atlet elit itu diberi peruntukan RM75 juta pada tahun itu manakala ISN diberi tugas dan tanggungjawab menjalankannya. Matlamat utama penubuhan Program Podium adalah untuk merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik 2020 selain muncul 10 kontinjen terbaik pada Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2018.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Malaysia sekadar mengutip tujuh pingat emas walaupun persiapan kali ini dikatakan lebih mantap menerusi Program Podium. Pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara gagal menepati sasaran yang ditetapkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat ke-12. Sekalipun pungutan pingat emas di Gold Coast mengatasi kutipan pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland tetapi hakikat yang harus diakui, kita sebenarnya gagal.

Skrip yang hampir sama juga terjadi di Jakarta-Palembang. Malaysia sekali lagi gagal menepati sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik apabila menduduki tangga ke-14 keseluruhan. Biarpun berjaya mencapai sasaran tujuh emas, pencapaian itu masih tidak boleh meletakkan kita untuk mendabik dada. Buktinya, daripada 12 jenis sukan yang menghadirkan pingat buat kontinjen Malaysia, kita hanya menang satu emas acara yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik, sumbangan jagoan lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Persoalannya, mengapa sehingga 148 atlet berada dalam Program Podium sedangkan yang benar-benar berpotensi memenangi pingat emas beberapa atlet sahaja. Sepatutnya, selepas berakhirnya Sukan Komanwel di Gold Coast, pihak-pihak yang berkepentingan membuat tapisan awal barisan atlet yang layak berada dalam Program Podium. Tidak keterlaluan jika penulis katakan atlet berpotensi memenangi emas Olimpik 2020 ataupun setaraf Azizulhasni sahaja layak berada dalam Program Podium bagi mengelakkan daripada pembaziran terus berlaku.

Mengapa Program Podium ini hanya perlu difokuskan kepada atlet seperti Azizulhasni? Ya, ia disebabkan objektif utama program itu adalah untuk mencari pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik, bukannya mencari pemenang pingat perak atau gangsa, mahupun atlet yang sekadar layak menyertai temasya Olimpik. Penulis hanya berharap Bengkel Post-Mortem Program Podium selama dua hari mulai semalam mampu merealisasi impian rakyat Malaysia untuk melihat kilauan emas Olimpik 2020.