Umum mengetahui, di DUN Balakong, Wong Siew Ki memperoleh 22,508 undi mengalahkan calon MCA, Tan Chee Teong yang mendapat 3,975 undi dengan majoriti 18,533 undi. Di DUN Seri Setia pula, Halimey Abu Bakar menang dengan majoriti 4,027 undi apabila mendapat 13,725 undi menewaskan calon Pas, Dr. Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.

Malangnya, dua pilihan raya tersebut dianggap yang terburuk dalam sejarah PRK negara ini apabila peratusan keluar mengundi di DUN Balakong cuma 43 peratus daripada 62,219 pengundi manakala di DUN Seri Setia, 44.1 peratus (53,492 pengundi).

Pada 4 Ogos lalu, PRK DUN Sungai Kandis juga mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 49.4 peratus. Ketiga-tiga PRK di negeri Selangor ini berlaku dalam tempoh tidak sampai enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. Inilah juga antara faktor berlaku kemerosotan peratusan keluar mengundi.

Selain itu, pengundi dilihat tidak kisah kerana beranggapan PH tetap akan dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU-14.

Mungkin juga mereka sudah bosan dengan politik yang tidak membawa perubahan besar seperti dijanjikan sebelum pilihan raya dan tindakan tidak keluar mengundi merupakan satu protes.

Di sebalik senario ini, tiga PRK itu boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada pihak pembangkang khususnya untuk mengatur strategi yang lebih berkesan dalam menawan semula hati rakyat.

Jika dilihat di PRK DUN Sungai Kandis, pertembungan melibatkan tiga penjuru antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Bebas. Bagi kerusi ini, Pas tidak meletakkan calonnya bagi memberi ruang kepada BN selaku pembangkang menentang PH.

Di DUN Balakong, MCA buat kali pertamanya telah menggunakan logo sendiri dalam pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu, di DUN Seri Setia, BN bukan sahaja memberi ruang kepada Pas untuk mempertaruhkan calonnya, malah membantu kempen parti itu bagi menarik pengundi termasuk penyokong parti komponen tersebut.

Bagaimanapun, ketiga-tiga PRK berkenaan, calon-calon pembangkang kecundang.

Isyarat dan petanda yang jelas adalah majoriti pengundi masih memberi peluang kepada wakil rakyat PH untuk te­rus berkhidmat di kawasan mereka sekali gus menunaikan janji-janji.

Walaupun pelbagai isu dan perkara mengejutkan berlaku seperti isu gaji minimum RM1,050 dan pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di Pulau Pinang, semua itu tidak mempengaruhi mood pengundi.

Pengundi masih menaruh harapan yang tinggi kepada PH walaupun ramai yang mula mempersoalkan kepimpinan PH dalam mentadbir negara terutama dalam soal meringankan kos sara hidup mereka.

Di sinilah peranan pembangkang amat penting dalam membela nasib rakyat.

Tiga PRK itu boleh dijadikan eksperimen kepada BN dalam mencari formula berkesan memenangi pilihan raya seterusnya.

Dalam tempoh terdekat ini, satu lagi PRK peringkat Parlimen pula dijangka diadakan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu nama besar yang akan mengubah landskap politik Malaysia.

Atas kertas, Anwar tidak ada masalah untuk menang. Namun begitu, beranikah pihak pembangkang menentang bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau memberi kemenangan percuma kepadanya yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan?