Kejayaan kontinjen negara meraih sasaran minimum tujuh pingat emas telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-14 daripada 45 negara dalam carta pungutan pingat.

Bagaimanapun, jumlah pingat itu masih belum cukup untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 10 negara terbaik pada sukan terbesar Asia edisi ke-18 itu sedangkan angka 10 itu disasarkan sebelum temasya bermula.

Sasaran sama juga ditetapkan kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April lalu, namun Malaysia turut gagal apabila sekadar berada di kedudukan ke-12 dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Apa sudah jadi sebenarnya? Malaysia berterusan gagal mencapai sasaran pada dua penganjuran sukan terbesar tahun ini, namun ada hati pula ingin menggenggam emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Di mana silap dan apa puncanya? Ketika ini penulis mendapati ramai pihak dengan ringan telunjuk menu­ding kepada Program Podium sebagai ‘kambing hitam’ atas kegagalan atlet-atlet negara mencapai sasaran yang diharap-harapkan.

Pelbagai pandangan dilontarkan supaya Program Podium yang menelan perbelanjaan besar dirombak, ditamatkan, dikaji semula, dimansuhkan, digugurkan, bedah siasat (post-mortem) dan banyak lagi menjurus kepada petunjuk negatif agar projek elit sukan negara itu dikuburkan.

Untuk pengetahuan, Program Podium dilancarkan pada 2016 sebagai platform bersepadu bagi mempersiapkan ­atlet elit negara dengan peruntukan RM75 juta, manakala Institut Sukan Negara (ISN) diberi tugas menjalankannya.

Matlamat utama penubuhan Program Podium adalah untuk merealisasikan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Pada penulis, kewujudan Program Podium ini sudah diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Hendak dibuang sayang, mahu disimpan khuatir pula akan menjadi beban memandangkan ia sudah menjengah ke fasa akhir.

Disebabkan masa semakin suntuk, kurang dua tahun lagi Sukan Olimpik 2020 akan membuka tirai, maka penulis berpendapat bahawa Program Podium itu perlu dite­ruskan pelaksanaannya buat kali yang penghabisan. Sudah alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Penulis percaya ISN atau Majlis Sukan Negara (MSN) menyedari bahawa program tersebut tidak boleh dipersalahkan 100 peratus atas kegagalan pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel kerana tanpa adanya Program Podium, pastinya prestasi atlet negara akan lebih jauh ketinggalan berbanding atlet negara lain.

Tiada guna dalam tempoh kritikal ini mahu mewujudkan program lain semata-mata memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 yang belum tentu ada kesan hitam dan putih, sebaliknya curahkan sepenuhnya kebijaksanaan dan keringat kepada platform sedia ada agar pelaksanaannya lebih padu dan sempurna.

Jika setiap empat tahun negara perlu memiliki program baharu, maka penulis fikir bidang serta industri sukan di Malaysia tidak akan melangkah dengan baik kerana memberi fokus kepada hal-hal tertentu sahaja.

Sekarang ini juga bukan masa sesuai untuk menubuhkan program baharu, bagaimanapun jika mahu mewujudkan dasar baharu sukan, maka ia dialu-alukan agar menjadi blueprint (rangka tindakan) jangka panjang melibatkan peringkat akar umbi secara menyeluruh.

Pada akhirnya, penulis suka ingatkan bahawa jangan kelak apa yang dikendong berciciran, sesuatu yang dikejar pula tiada hasilnya.