Oleh sebab itu, walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah berlangsung pada 9 Mei lalu, ia terus diperkatakan orang. Media sosial dibanjiri dengan pelbagai komen, positif dan negatif. Sesetengahnya ditulis oleh tokoh berpengaruh tetapi sebahagian besarnya oleh golongan marhaen. 

Kempen PRU-14 sedikit sebanyak turut mencetuskan ribut dalam persahabatan dan hubungan kekeluargaan. Pertembungan antara calon dengan calon serta penyokong dengan penyokong yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan persahabatan tidak dapat dielak. 

Ada adik yang sanggup menjadi calon tanpa parti untuk lawan abang kandung. Ada ibu yang rela turun berkempen untuk kalahkan anak sendiri yang menjadi calon kerana perbezaan parti. Ramai juga kawan yang sampai ‘left’ grup WhatsApp kerana sakit hati dengan kawan lama yang berkempen untuk parti lawan.

Walaupun PRU-14 sudah berakhir, episod bermasam muka belum tentu selesai. Hakikatnya, kemenangan atau kekalahan adalah milik ahli politik. Baik yang menang atau yang kalah, kehidupan mereka akan berubah selepas ini. Namun bagi kebanyakan orang, kehidupan mereka sama seperti yang lama. Apa yang kekal menjadi milik mereka ialah ahli keluarga, sahabat serta jiran-jiran sekampung atau setaman perumahan. Justeru itu, apa sahaja keputusan PRU-14, jangan abaikan dan jangan musuhi mereka.

Siapa yang mereka sokong pada pilihan raya, itu hak masing-masing. Inilah demokrasi. Suami isteri pun ada yang sokong parti lain-lain. Sokongan dibuat atas keyakinan sendiri, jadi jangan maki, jangan caci. Raikan perbezaan, eratkan persaudaraan. 

Tidak salah untuk memuji pihak yang menang, tetapi jangan jadikan pihak yang kalah umpama kain buruk seolah-olah tidak pernah berjasa. Bagi kebanyakan ibu bapa kita yang hidup sejak negara merdeka, mereka mungkin hanya tahu jasa pemimpin-pemimpin terdahulu.

Dalam pilihan raya, lawan tetap lawan. Tapi dalam kehidupan sebenar, mereka tetap kawan apatah lagi darah daging sendiri. Air dicincang takkan putus. 

Kalau kita sakit, kawan yang datang jenguk. Kalau kita mati, kawan itu juga yang ziarah dan hantar jenazah kita ke kubur. Mereka juga aminkan doa untuk kita. Calon yang kita undi sampai menang itu belum tentu datang macam kawan kita buat.

Eratkan kembali silaturahim. PRU itu ibarat biduk yang lalu lima tahun sekali, apabila sudah berlalu kiambang akan kembali bertaut.

Apatah lagi menjelang ketibaan Ramadan beberapa hari lagi yang merupakan bulan untuk menyambung tali persaudaraan. Bulan Ramadan adalah masa untuk menghidupkan semangat kebersamaan seperti solat tarawih dan berbuka puasa bersama-sama.

Pada bulan ini, hati seorang muslim biasanya begitu lapang, pemaaf dan memiliki semangat persaudaraan yang tinggi. Inilah masa untuk menjalin semula hubungan  yang renggang bahkan terputus.

Renungilah maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim berikut: “Mahukah kalian aku tunjukkan amalan yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” 

Rasulullah kemudian menjelaskan: “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menghubungkan pelbagai kelompok dalam Islam dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka, semua itu adalah amal soleh yang besar pahalanya.”