Untuk mendapat 100 pe­ratus kehadiran atau 90 peratus kedatangan, sejarah sudah menunjukkan amat sulit untuk dicapai tetapi ia tidak mustahil. 

Senario ini yang merisaukan banyak pihak.

Ibu segala pilihan raya atau bapa segala pilihan raya tidak akan bermakna seandainya rakyat Malaysia yang sudah mendaftar sebagai pemilih culas melunaskan tanggungjawab mereka. Lima tahun sekali sahaja bukan setiap hari, itu pun liat untuk dilakukan.

Kebanyakan pengundi lupa, kita memangkah bukan untuk diri sendiri. Undi kita menentukan masa depan negara, agama, bangsa serta berjuta rakyat lain yang tidak boleh membuang undi kerana belum cukup syarat selain sengaja tidak mendaftar sebagai pemilih. 

Di tangan kitalah, terletak hak mereka. Di tangan kitalah terletak nasib mereka. Di tangan kitalah terletak masa depan negara.

Jangan lupa, masa depan kita yang mengundi juga. Oleh itu jangan memperjudikan masa depan semua itu dengan sikap ambil mudah kita. Tidak serius, tidak sensitif dan main pangkah sahaja.

Paling malang sekali, mungkin disebabkan lima tahun sekali, kita tersilap pangkah, lalu kertas undi itu pun dikira rosak.

Kebanyakan pengundi sudah lama tahu, apa pilihan di hati mereka. Penulis juga tetapi tak boleh beritahu kepada pembaca kerana undi  adalah rahsia. Bagaimanapun dalam era canggih ini, penulis rasa tidak ada yang rahsia lagi di planet ini. 

Dalam pada itu, mungkin sudah sampai masanya, pihak berkuasa memikirkan satu cara di mana semua yang layak mengundi boleh mengundi secara mudah dan selamat.  Tidak ada yang mustahil di muka bumi ini, semua boleh dibuat kalau  ada kesungguhan, kekuatan serta keyakinan untuk melakukannya.

Kata bijak pandai, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Cuba kita renungkan, mereka yang layak mendaftar tapi berjuta yang tidak melakukannya. Pada hal, sudah banyak kali dipermudahkan proses untuk mendaftar sebagai pemilih. Sedihnya, itu pun ramai yang tidak  mampu menunaikan tanggungjawab mereka. 

Bila mengundi pula, bila­ngan undi rosak juga tinggi. Apa sudah jadi pada rakyat Malaysia yang ‘berkokok’ siang malam dekat laman maya?

Oleh sebab itu, antara tugas berat  jentera parti dan calon ialah memastikan semua pengundi termasuk yang putih, hitam dan kelabu juga atas pagar keluar mengundi seawal mungkin.

Demam pilihan raya sudah lama bermula. Bagaimanapun debaran kencangnya semakin dirasai minggu ini dan semua orang tidak sabar-sabar menunggu detik pembubaran Parlimen dan Dewan. Penulis juga.

Bagaimanapun,  jangan jadikan pilihan raya ini sebagai  lubuk  masuk duit dalam poket sendiri.

Makhluk jenis ini akan ‘makan’ kiri kanan dan ‘ke­nyang’ bersendirian. Spe­sies ini amat bahaya.

Duit yang diamanahkan untuk diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tidak sampai ke sasaran serta penerima sepatutnya. Kalau sampai pun, mungkin sudah melalui banyak ‘plaza tol’.

Semua orang kena jujur, amanah serta ada etika dan integriti dalam melaksanakan semua kerja yang dipertanggungjawabkan di bahu mereka.

Barulah hidup kita, rezeki kita, berkat.

Memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia super aktif, hampir setiap minggu sepanjang tahun 2018, begitu banyak ‘ikan jerung’ yang masuk dalam pukat, selain dihadapkan ke muka pengadilan.

Jangan pulak selepas bapa segala pilihan raya ini berakhir, ramai pula individu yang  kena cekup angkara ‘makan’ duit haram.