Sebanyak 13 menteri tambahan dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara kelmarin.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kini mempunyai 26 menteri dalam Kabinet termasuk 13 menteri terdahulu yang telah mengangkat sumpah jawatan pada 21 Mei lalu.

Sebelum ini pelbagai pihak mendesak kerajaan PH segera melengkapkan Kabinet kerana tindakan mele­ngahkan perkara itu akan mengganggu kelancaran pentadbiran jabatan kerajaan yang memerlukan kelulusan di peringkat menteri.

Sepanjang tempoh Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama 60 tahun, belum pernah berlaku kelewatan pengumuman barisan penuh Kabinet kerana ia bia­sanya diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun, kali ini pengumumannya lewat, mungkin kerana PH yang baru pertama kali memerintah negara perlukan persetujuan semua parti dalam gabungan itu dari segi pembahagian jumlah menteri dan timbalan menteri mengikut parti.

Sudah tiba masanya tumpuan terarah dalam usaha menyuntik harapan baharu kepada rakyat yang menolak BN dan memilih PH pada pilihan raya umum lalu.

Pada PRU-14 lalu, PH berjanji akan melaksanakan 10 inisiatif dalam tempoh 100 hari pemerintahan. Salah satu yang berjaya dilaksanakan adalah mensifarkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Bagaimanapun, banyak lagi inisiatif lain seperti menangguhkan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional masih tidak dapat dilaksa­nakan kerana kekangan kewangan negara.

Walaupun rakyat kini lebih bersyukur dengan apa yang mampu diberikan kerajaan baharu namun ramai juga yang kecewa kerana banyak janji masih gagal ditunaikan.

Bagi UMNO yang merupakan parti tunjang dalam BN juga telah melengkapkan barisan kepimpinan yang baharu selepas terumbang-ambing akibat dibadai tsunami rakyat pada PRU-14 lalu.

UMNO sekarang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang baharu bersama barisan kepimpinan lain yang menang pada pemilihan parti itu Sabtu lalu.

Usaha untuk mengembalikan kekuatan serta kredibiliti UMNO sekali gus menyakinkan semula rakyat kepada parti itu adalah satu proses yang mencabar.

BN perlu menjadi pembangkang yang berkesan dalam proses semak dan imbang atas dasar-dasar serta cada­ngan yang diperkenalkan oleh kerajaan PH.

Bukan semua perkara yang diperkenalkan kerajaan baharu dipersetujui rakyat, ada antara mereka yang membantah terutama apabila melibatkan kenaikan barangan dan perkhidmatan.

Di sinilah peranan pihak pembangkang amat penting dalam membela nasib rakyat.

Rakyat memerlukan pembangkang yang kuat dan mampu membawa suara mereka, sama seperti rakyat perlukan PH sebelum ini.

PH dan BN perlu memainkan peranan masing-masing dalam membela rakyat. Tempoh lima tahun lagi sebelum PRU-15 diadakan bukanlah terlalu lama kerana ketika ini masa itu bergerak pantas.

Ingat-ingatlah hidup ini ibarat roda, kadangkala kita di atas dan kadangkala kita di bawah, sama seperti nasib pemimpin dan parti politik yang akan ditentukan rakyat pada masa hadapan.