Kenyataan akhbar tiga perenggan itu menyebut Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi dilantik sebagai Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang menamatkan perkhidmatan pada 12 April lalu selepas mencapai umur bersara wajib 66 tahun enam bulan.

Pelantikan Tengku Maimun dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

Pemilihan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mencatatkan sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama dan ke-16 yang dilantik ke jawatan ter­tinggi badan kehakiman negara. Sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, ke­semua 15 Ketua Hakim Negara yang dilantik adalah lelaki.

Ia menjadi penanda aras bahawa kebolehan, kelayakan dan keupayaan seseorang tidak boleh diukur melalui jantina.

Selain berjaya memecah tradisi kerjaya yang dimonopoli oleh lelaki, Tengku Maimun, 60, telah mewujudkan landskap baharu wanita di Malaysia.

Perjalanan graduan undang-undang Universiti Malaya itu selama 37 tahun dalam bidang perundangan bermula sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan pada tahun 1982.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Rekod cemerlang Tengku Maimun terus terserlah apabila beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Putrajaya selama lima tahun sebelum menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dalam masa setahun.

Pembabitan wanita dalam bidang perundangan di negara ini meskipun tidak segah golo­ngan lelaki, tetap membanggakan dan mencatatkan perkem­bangan positif.

Bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dilantik sebagai hakim wanita per­tama di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2008.

Beliau merupakan wa­nita pertama di negara ini yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 1983 selama empat tahun. Siti Norma mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Malaya.

Legasi kecemerlangan Siti Norma sebagai Hakim Besar Malaya diteruskan oleh Tan Sri Zaharah Ibrahim yang dilantik pada Julai tahun lalu.

Menyedari isu-isu Mahkamah Syariah memerlukan sentuhan wanita dalam pelaksanaan keadilan yang berkesan, Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, dilantik sebagai hakim wanita pertama Mahkamah Tinggi Syariah tiga tahun lalu.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin pula diberi kepercayaan apabila menjadi wanita per­tama di negara ini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Ra­yuan Syariah Terengganu pada tahun 2017.

Sebetulnya, penglibatan wa­nita dalam kerjaya yang selama ini dikuasai lelaki tidak terhad dalam bidang perundangan.

Bidang kedoktoran me­ngangkat Tan Sri Dr. Salma Ismail sebagai doktor wanita pertama negara pada tahun 1949, sementara Tun Tan Sri Fatimah Hashim membuktikan kemampuannya dalam pentadbiran negara dan politik apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia pada tahun 1969 hingga 1973.

Astrofizik wanita pertama negara, Datuk Dr. Mazlan Othman, mengharumkan nama negara apabila dilantik sebagai Pe­ngarah Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas.

Dalam satu kajian yang diterbitkan Nikkei Asian, Malaysia berada di landasan terbaik dalam pembangunan sosioekonomi wanita. Hakikatnya, kunci kekuatan sosioekonomi sesebuah negara banyak disumbangkan oleh wanita.

Kepada Tengku Maimun, tahniah dan selamat menjalankan tugas. Ada banyak tugas besar yang menanti dan perlu beliau selesaikan terutama mengurus persepsi negatif masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.