Malah, bekas jurulatih Los Blancos dan Sepanyol, Vicente del Bosque dengan nada sombong menggambarkan final itu  sebagai laluan mudah Real selain memaklumkan tiada seorang pun pemain Liverpool layak dalam kesebelasan utama gergasi La Liga itu.

“Real merupakan skuad hebat dan kelab terbaik di Eropah ketika ini. Real Madrid akan kalahkan Liverpool 4-1,” ujar del Bosque.

Bagaimanapun, del Bosque mungkin terlupa bahawa Real yang diwakilinya itu pernah tewas kepada Liverpool 0-1 dalam aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes, Paris pada 27 Mei 1981.

Penulis tidak nafikan, atas kertas skuad Los Blancos yang merupakan juara 12 kali Liga Juara-Juara memiliki kelebihan berbanding Liverpool, namun kecil jangan disangka anak, besar pula jangan disangka bapa. Siapa sangka skuad The Reds berjaya ke final berban­ding ramalan awal yang meletakkan Manchester City atau Chelsea pada awal musim.

Sama ada Real cuak atau sebaliknya, media-media Sepanyol seolah-olah agresif melancarkan serangan psikologi ke atas Liverpool sebaik sahaja The Reds menewaskan AS Roma di peringkat separuh akhir.

“Tiada sebarang wajah ketakutan di Madrid apabila berbicara mengenai Liverpool. Mereka sangat bersenang-lenang sebelum ke final,” ujar seorang wartawan El Pais, Diego Torres Torres.

Diakui, Real Madrid dipenuhi pemain-pemain bintang bertaraf dunia yang cukup sempurna di semua posisi bahkan melimpah-ruah hingga ke bangku simpanan. Itulah gambaran betapa hebat dan gahnya kelab gergasi berjersi putih itu.

Namun, adakah Real Madrid dan media-media Sepanyol benar-benar masak dan memahami karakter skuad Liverpool yang didakwa mereka tiada seorang pun bintang bertaraf dunia. 

Memang benar bahawa Liverpool tidak membeli pemain-pemain bintang (tidak termasuk Virgil van Dijk), sebaliknya mendapatkan pemain seperti Andy Robertson, Georginio Wijnaldum, Loris Karius, Ragnar Klavan, James Milner dan Alberto Moreno.

Walaupun pemain-pemain The Reds bukanlah ternama, namun mereka membentuk sebuah pasukan yang kental. Pengendalinya, Klopp berjaya mencungkil bakat pemain itu semaksimum mungkin sehingga menjadikan Liverpool sebuah pasukan seolah-olah memiliki bintang-bintang. 

Seorang pengurus berkualiti tahu bagaimana berhubung dengan para pemainnya untuk menghasilkan keputusan positif sekali gus mendapat sokongan padu para penyokong. 

Klopp sebenarnya berjaya mencetus semangat kepada para penyokong sebaik sahaja mengendalikan Liverpool pada 2015.

Klopp menyemai kekuatan minda dalam diri pemain selain menggabungkan potensi serta taktik jelas untuk mengeluarkan daya saing anak-anak buahnya meskipun sedang ditertawakan oleh Real Madrid.

Tidak kira apa pun yang Real Madrid ingin fikirkan, Klopp berjaya membantu para pemainnya untuk menolak andaian apa yang mereka sedang fikirkan.

Lebih penting, Klopp memberi pemain-pemainnya peluang untuk mengalahkan bintang-bintang bertaraf dunia dan kelab mewah Sepanyol itu di Kiev, Ukraine awal pagi esok. Ayuh penyokong Liverpool, bersoraklah You’ll never walk alone.