Tidak kiralah apa pun impian serta azam yang ditanam dalam diri masing-masing, kita berharap ia akan dapat dicapai seperti yang dihajati.

Cuma, dalam kesibukan kita mengejar impian itu, elok juga kalau kita duduk sejenak dan bermuhasabah tentang diri dengan merenung kembali tentang apa-apa yang telah kita lakukan dan lalui sepanjang tahun lalu. Apakah kita masih berada di landasan yang betul atau masih banyak perkara sebenarnya yang perlu diperbetulkan.

Jika kita tinjau kembali pelbagai peristiwa yang berlaku dalam masyarakat sepanjang tahun 2017, banyak juga kita terbaca sama ada di dada-dada akhbar atau berita-berita di laman sosial mengenai pelbagai kes salah laku atau jenayah melibatkan pelbagai pihak di sana sini.

Seorang ketua misalnya, sanggup menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan, seorang pegawai sanggup menerima rasuah, seorang pekerja sanggup menipu majikannya, seorang anak muda sanggup mencuri dan macam-macam lagi salah laku yang kurang enak untuk diceritakan mencemari kehidupan masyarakat pada tahun lalu.

Lebih malang, kata seorang ustaz, masjid yang sepatutnya dijadikan tempat untuk beribadat kepada tuhan turut tidak terlepas daripada insan-insan yang tidak bertanggungjawab apabila banyak kes kecurian berlaku di rumah Allah itu.  

Jadi, bagaimana masyarakat kita mahu hidup aman makmur jika masalah-masalah seperti ini terus berlaku dalam masyarakat kita?

Kes-kes seperti pecah amanah, rasuah, penipuan, kecurian atau salah guna kuasa ini sering menghantui kita sehingga ia bukan sahaja menjejaskan imej dan nama baik pihak-pihak yang terlibat, malah turut memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Entah di mana silapnya, masalah-masalah tersebut tetap berlaku saban tahun dan ia melibatkan semua lapisan masyarakat. Lebih menyedihkan ia turut melibatkan mereka yang berpendidikan tinggi dan golongan bijak pandai.

Semuanya itu mungkin berpunca daripada sikap ta­mak atau ingin hidup senang dengan cara yang mudah sehingga ada dalam kalangan kita yang sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira sama ada ia melanggar undang-undang negara atau hukum agama demi mencapai apa yang dihajati.

Apa yang pasti, semuanya berlaku kerana lemahnya sifat amanah dalam diri kita.

Jadi sempena tahun baru 2018 yang bermula hari ini, eloklah kalau kita renung semula mengenai sifat amanah dalam diri masing-masing dan menilai di manakah tahap kita?

Ia harus bermula daripada diri kita sendiri. Tanya diri sejauh mana kita telah menyempurnakan amanah kita kepada Allah, amanah kita kepada sesama manusia dan amanah kita kepada diri kita sendiri.

Apakah kita telah menyempurnakan semua amanah itu?

Jadi sempena tahun baru 2018 ini, eloklah sifat amanah ini diperkasa dalam diri kita supaya segala bentuk salah laku yang menghantui masyarakat selama ini akan dapat kita atasi dengan sempurna.

Bayangkan, betapa aman dan makmurnya sesebuah negara jika semua rakyatnya terdiri daripada insan-insan yang kaya dengan sifat amanah dan apa yang lebih menarik, ia akan menjadikan masyarakat serta negara kita secara keseluruhannya akan lebih dihormati dan dipandang tinggi oleh semua pihak.       

Percayalah, tanpa sifat amanah ini, bukan setakat diri kita yang akan menuju ke arah kehancuran, malah ia akan turut merosakkan institusi yang lebih besar iaitu keluarga, bangsa, negara dan agama secara keseluruhannya.

Bak kata pujangga, kerana nila setitik, rosak susu se­belanga. Selamat tahun baru 2018.